PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan perlu memantau tahap kesihatan penerima vaksin AstraZeneca (AZ) sama ada mempunyai kesan sampingan atau sebaliknya.
Malaysia pada Julai 2021 dilapor menerima lebih 1.5 juta dos bekalan vaksin AZ dari Jepun dan Thailand.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, pemantauan berterusan perlu dilakukan supaya rawatan awal dapat diberikan apabila berlaku kesan sampingan berkenaan.
Katanya, usaha itu dapat dilakukan kerana kementerian mempunyai pangkalan data vaksinasi orang ramai terutamanya melalui MySejahtera.
“Dalam pangkalan data Kementerian Kesihatan ada data sesiapa yang telah terima vaksin AZ itu, jadi mereka sepatutnya ada pemantauan berterusan penerima vaksin berkenaan.
“Kementerian Kesihatan perlu meneliti data kesihatan yang telah menerima vaksin AZ supaya apabila kesan sampingan itu berlaku, maka rawatan awal boleh diberikan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan, firma farmaseutikal, AstraZeneca dilapor menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia.
Tindakan itu dipercayai dilakukan berikutan pengakuan syarikat itu dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin AZ boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.
Syarikat farmaseutikal itu menghadapi tuntutan saman atas dakwaan vaksin dibangunkan mereka bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.
Boon Chye yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corp) berkata, Kementerian Kesihatan juga boleh meneliti keseriusan kesan sampingan vaksin berkenaan sendiri tanpa perlu menunggu laporan daripada syarikat itu.
“Firma AZ patutnya ada pemantauan berterusan dan buat laporan berkala kementerian dan menyatakan sam ada apa-apa kesan sampingan yang berlaku akibat vaksin tersebut.
“Jadi dengan data tersebut, kementerian akan dapat maklumat selanjutnya berhubung keseriusan kesan sampingan. Jangan tunggu syarikat sahaja sebab kementerian ada pangkalan data penerima vaksin AZ ,” katanya.










