KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkaitan vaksin AstraZeneca (AZ) dalam masa terdekat.
Justeru, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meminta semua pihak untuk bersabar.
“KKM akan mengeluarkan kenyataan terkait AstraZeneca dalam waktu terdekat…harap bersabar,” katanya kepada pemberita selepas hadir melancarkan Persidangan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) Trial Connect 2024 di sini.
Sebelum ini, media melaporkan, firma farmaseutikal, AstraZeneca dilapor menarik balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia.
Tindakan itu dipercayai dilakukan berikutan pengakuan syarikat itu dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin AZ boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.
Syarikat Farmaseutikal itu menghadapi tuntutan saman atas dakwaan vaksin dibangunkan mereka bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.
KKM sebelum ini dilapor akan meminta penjelasan daripada firma Farmaseutikal itu berhubung vaksin covid-19 mereka susulan isu kesan sampingan berkenaan. –UTUSAN










