CYBERJAYA: Tiga agensi bermandat bumiputera diselaraskan semula bagi memperkasa penyertaan kaum tersebut dalam penyertaan ekonomi Malaysia.
Tiga agensi itu ialah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang turut diberikan sasaran khas perlu dicapai menjelang 2030.
Pelarasan semula tiga agensi itu menyaksikan tiada lagi skim geran baharu untuk bumiputera, sebaliknya diganti pinjaman yang dilihat lebih adil dan membuka peluang kepada lebih ramai usahawan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah itu selaras dengan matlamat Kerajaan Madani untuk melonjakkan bumiputera agar lebih berdaya strategik, mampan dan efektif.
Beliau berkata, pelarasan semula itu hasil Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) yang menggariskan peranan tiga agensi berkenaan.
Katanya, ia dilakukan setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan melalui beberapa sesi libat urus yang dijalankan awal tahun ini dan akan dijayakan melalui kerjasama pintar antara sektor awam dan swasta.
“Menerusi langkah ini, fungsi agensi berkenaan tidak lagi bertindih, bahkan lebih jelas demi memperkukuhkan kerjasama erat dalam misi penyampaian agenda bumiputera,” katanya pada Majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera di sini, semalam.
Menurut Rafizi, ketiga-tiga agensi itu bakal memainkan peranan yang amat khusus dalam ekosistem keusahawanan bumiputera dan bukan sekadar sebagai pemberi skim geran.
Sebagai contoh, katanya, YP akan fokus pembangunan 10,000 bakat bagi peningkatan kelas pencipta nilai menjelang 2030 dan bersedia bersaing menjadi pemain industri besar, sementara Teraju pula bertindak
sebagai pencipta skala ‘super’ yang memacu pertumbuhan syarikat bumiputera untuk kompetitif di arena global menerusi pembiayaan RM1 bilion.
“Dana pinjaman ini akan disalurkan menerusi kerjasama dengan sektor swasta yang akan meningkatkan lagi keupayaan sebanyak 1,000 syarikat tempatan berpotensi jauh,” katanya.
Tambah beliau, Ekuinas pula bakal merancakkan penciptaan kekayaan dan usaha penglibatan bumiputera melalui program baharu pemilikan ekuiti korporat, Dana Asas II.
“Agensi tersebut akan melabur RM800 juta bagi menyokong usahawan yang memiliki rekod prestasi laba cemerlang untuk mencapai kejayaan lebih besar di pasaran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, sebelum ini semua bantuan direka untuk diberi percuma tetapi kaedah itu menyebabkan sebahagian besar penerima tidak bertanggungjawab.
“Kita hendak orang yang betul-betul mahu berniaga sebab dia tahu kena jelas balik dan hanya minta dana modal diyakini boleh bayar kembali, kalau tidak hilang bisnes. Banyak kes selepas dua tahun dapat geran, mereka diam dan hilang begitu sahaja walhal dana itu jika dibayar balik, ia boleh bantu ramai usahawan berpotensi besar,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, perubahan dari segi pendekatan pembiayaan kali ini dilihat mampu memperluaskan capaian skop tiga agensi tersebut kepada ribuan lagi pemohon baharu.
Ditanya apakah tiada lagi skim geran kepada peniaga mikro bumiputera, beliau berkata, inisiatif itu tetap diteruskan pelbagai agensi di bawah beberapa kementerian lain.
Sebaliknya jelas beliau, pihak Teraju, YP dan Ekuinas pula akan memberi tumpuan khas kepada usahawan skala kecil dan sederhana yang mampu mengembangkan perniagaan.
“Mereka inilah perlu ditolong kerana kerajaan mahu lahir pencipta nilai yang dapat buka banyak cawangan dan akhirnya syarikat itu pula disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya.
Langkah itu juga ujarnya, turut mendidik mereka untuk berdaya saing dengan persekitaran global yang lebih mencabar dan mampu melonjak tinggi sehingga ke peringkat sejagat.
“Bahkan tiga agensi di bawah kementerian saya masih tawar banyak program bagi sokong ekosistem usahawan ini termasuk dana lebih RM1 bilion hingga tahun 2030,” kata Rafizi.
Pembiayaan besar itu jelasnya, membuktikan komitmen serius kerajaan bagi mewujudkan sejumlah 1,000 syarikat bumiputera berskala tinggi dan memanfaatkan 5,000 perusahaan. – UTUSAN










