Taktik warganegara China seludup minuman keras, rokok digagalkan JKDM Pahang - Utusan Malaysia

Taktik warganegara China seludup minuman keras, rokok digagalkan JKDM Pahang

MOHD. ASRI Seman (tengah) menunjukkan antara minuman keras dan rokok yang dirampas dalam serbuan di Johor pada sidang akhbar di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan taktik lelaki warganegara China yang bekerja di sektor perkapalan di Malaysia untuk melakukan penyeludupan minuman keras dan rokok yang dipercayai dibawa masuk dari China.

Hasil aduan diterima, JKDM Pahang melakukan serbuan di Johor Bahru dan Masai, Johor serta merampas minuman keras dan rokok seludup yang keseluruhannya bernilai RM532,649.25.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, hasil serbuan dilakukan, pihaknya merampas 2,413,40 liter minuman keras dan 585,580 batang rokok pelbagai jenis dan jenama bernilai RM80,371 dengan nilai cukai dianggarkan berjumlah RM452,278.25.

“Serbuan pertama pada pukul 3 pagi di sebuah premis kediaman di Johor Bahru berjaya menemukan minuman keras dan rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM177,743 dan pasukan menahan lelaki warganegara China berusia 44 tahun untuk siasatan lanjut.

“Serbuan kedua pada pukul 5 pagi di sebuah premis kedai di Masai, Johor berjaya menemukan minuman keras dan rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai cukai sebanyak RM354,906,” katanya dalam sidang akhbar di JKDM Bentong di sini hari ini.

Mohd. Asri berkata, lelaki warganegara China yang mula bekerja di negara ini pada 2021 itu dibebaskan dengan jaminan RM20,000 oleh dua penjamin warganegara tempatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, rokok-rokok dan minuman keras yang dirampas diklasifikasikan sebagai barang yang dilarang pengimportannya mengikut Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Beliau dalam pada itu berkata, siasatan awal mendapati rokok dan minuman keras berkenaan adalah untuk pasaran khususnya warganegara asing di sekitar Johor.

Katanya, siasatan giat dilakukan dan pihaknya percaya barangan berkenaan dibawa masuk melalui laut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN