Tablet percuma kepada murid, guru - TPM - Utusan Malaysia

Tablet percuma kepada murid, guru – TPM

AHMAD ZAHID Hamidi (empat dari kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan berhasrat menyediakan ‘tablet’ percuma kepada semua murid dan guru sekolah dalam usaha memperkasakan pembelajaran teknologi digital di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan dibuat berfasa berdasarkan peruntukan diterima.

“Tablet amat diperlukan bukan hanya dalam kalangan para guru tetapi murid-murid dan pelajar-pelajar kerana pendekatan. pembelajaran yang ada telah berubah kepada sistem pembelajaran digital.

“Walaupun kita tahu kekangan kewangan menjadi faktor utama namun ia boleh dibuat secara berfasa dan insya-Allah saya akan mendokong semua program-program yang telah dirancang oleh Kementerian Pendidikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-53 Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pemberian tablet berkenaan amat signifikan dan selaras dengan Dasar Pendidikan Digital Negara yang sedang giat dilaksanakan dan. wajar bagi melaksanakan kaedah pembelajaran melalui sistem digital.

Jelasnya, penyediaan tablet tidak dapat dielakkan kerana pada masa ini sistem pembelajaran dan kaedah pengajaran serta pedagogi digital telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan.

“Kalau dapat dibuat berfasa mulai tahun ini saya fikir ada dalam tempoh empat lima tahun akan datang majoriti pelajar dan murid-murid akan dapat.

“Walaupun tahun ini sebanyak RM58.7 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, namun saya yakin bajet tahun depan akan bertambah bagi pembelian perkakasan melaksanakan kaedah pembelajaran secara digital,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, dalam usaha memastikan Dasar Pendidikan Digital mencapai objektif yang digariskan, sebanyak 8,104 makmal komputer di sekolah perlu dinaiktaraf agar mampu digunakan sepenuhnya oleh guru dan murid.

Justeru beliau meminta pihak Kementerian Pendidikan memberikan keutamaan kepada perkara itu agar kerja dan peranan guru sebagai ‘Jauhari Digital’ seperti mana tema hari guru tahun ini dipermudahkan.

“Selain itu saya turut dimaklumkan pembekalan peranti pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid di makmal komputer telah dilaksanakan secara berfasa, bermula tahun 2022 sehingga kini telah memanfaatkan 11,220 sekolah dengan melibatkan 213,014 unit komputer riba.

“Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) agar dana tambahan untuk pembekalan peranti ini dapat diluluskan seperti yang dipohon oleh pihak kementerian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN