KUALA LUMPUR : Polis mengesahkan suspek kedua yang ditahan di Bandar Baru Bangi, Kajang kelmarin bagi membantu siasatan kes simbah asid ke atas pemain bola sepak negara, Faisal Halim mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semakan polis mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah lampau iaitu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 170 KK, Seksyen 507 dan Seksyen 384 KK.
Menurutnya, suspek masih di dalam tahahan reman selama lima hari dan siasatan masih dijalankan.
“Manakala suspek pertama dibebaskan selepas tamat reman namun ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.
“Suspek kedua yang masih direman itu bekerja sendiri sementara suspek pertama tiada rekod jenayah,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, suspek kedua yang ditahan susulan insiden simbah asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim diberkas di sekitar Bandar Baru Bangi.
Mengesahkan penahanan itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan lewat petang.
Media sebelum ini melaporkan Faisal mengalami lecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di parkir sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.









