TELUK INTAN: Pengusaha bot memancing Sungai Perak di sini lega apabila perkhidmatan mereka semakin mendapat sambutan daripada kaki pancing dan pelancong.
Pengusaha bot yang ditemui berkata, keadaan sudah pulih sepenuhnya daripada kesan Covid-19 yang pernah menyebabkan perniagaan mereka terjejas teruk.
Pemandu bot pancing, Budiman Kaidir, 59, berkata, suasana sekarang jauh berbeza berbanding ketika Covid-19, apabila tidak ramai pelancong berkunjung ke bandar ini ketika itu menyebabkan perkhidmatan bot terjejas.
“Kami bersyukur kerana sudah banyak tempahan bot diterima ketika ini. Kebanyakan yang membuat tempahan terdiri daripada kaki pancing yang mahu memancing udang di Sungai Perak.
“Ada di antara mereka yang datang dari jauh, dari luar Perak terutama Kuala Lumpur. Mereka mahu cuba menangkap udang galah di Sungai Perak yang terkenal sebagai lubuk udang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Budiman menjalankan perkhidmatan sewa bot pancing dan pelancong menyusuri Sungai Perak setiap hari bermula pukul 7 pagi hingga 7 petang.
“Setakat ini saya mempunyai 20 bot sewa dan biasanya pada setiap hujung minggu, semua bot disewa kaki pancing,” katanya.
Menurutnya, selain memancing, jika bernasib baik pemancing boleh melihat objek besi, tidak dapat dipastikan sama ada relau atau kepala keretapi yang dikatakan tenggelam sejak berpuluhan tahun lalu. – UTUSAN









