Sungai Jelai ‘merah’, penduduk bimbang ternakan sangkar mati

Sungai Jelai ‘merah’, penduduk bimbang ternakan sangkar mati

KEADAAN air Sungai Jelai kelihatan kemerahan dan berkeladak sejak dua minggu lalu berdekatan Kampung Gemuncur, Lipis. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Penduduk di pesisir Su­ngai Lipis dan Sungai Jelai di Benta dan Cheka dekat sini bimbang keadaan air sungai berwarna ‘merah’ dan berkeladak dikhuatiri menjejaskan keperluan harian dan gangguan ternakan sangkar sepanjang sungai tersebut

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk di Mukim Cheka Satu, Mohd. Safri Salleh, 43, berkata, sejak sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu, air Sungai Jelai di Mukim Cheka Satu dan Cheka Dua bertukar warna ke­merahan dan berkeladak.

“Punca pencemaran ini apabila air Sungai Lipis dari kawasan Benta berwarna merah lalu bercantum dengan Sungai Jelai berdekatan bandar Kuala Lipis dipercayai turut tercemar dengan warna merah serta berkeladak sejak dua minggu lalu.

“Masih tidak dapat di­­pa­s­­tikan aktiviti di kawasan hulu kedua batang sungai ini sehingga kerap berlaku pelepasan bahan kotor menyebabkan air keruh seperti teh tidak cukup susu,” katanya di sini, semalam.

Menurut Mohd. Safri lagi, sebelum ini kejadian itu pernah berlaku setahun sekali apabila air Sungai Lipis bertukar ke­merahan sehingga air Sungai Jelai di Mukim Cheka juga menerima impak pencemaran ini sekali gus ‘menakutkan’ penduduk pesisir sungai tersebut untuk kegunaan harian kerana loji rawatan air memproses bekalan air terawat dari sungai tersebut.

“Kita berharap pihak berwajib memantau keadaan pencemaran kedua-dua sungai tersebut, bukan sahaja aktiviti bercorak komersial di hulu su­ngai malahan kegiatan lain yang turut menyumbangkan kepada perubahan warna air dan berkeladak dengan lumpur,” katanya.

Seorang penternak ikan sangkar, Johari Abu Bakar, 50, berkata, fenomena ini kerap berlaku sejak Februari lalu sehingga membimbangkan pengusaha ikan sangkar berhubung tahap pembesaran ternakan ikan patin dan tilapia di Sungai Jelai yang menjadi sumber komersial penduduk di sini.

“Sekiranya keadaan ini kerap berlaku ditambah pencemaran lain memungkinkan hidupan liar sungai ini akan pupus termasuk ikan yang diternak di dalam sangkar juga akan mati,” katanya.

Johari berkata, keadaan Sungai Jelai menjadi merah campuran keladak kemungkinan pelepasan bahan buangan daripada aktiviti cari gali bahan mineral di kawasan hulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN