Subsidi bersasar mampu elak penyeludupan

Subsidi bersasar mampu elak penyeludupan

Penyasaran subsidi diesel dijangka menyelesaikan masalah penyeludupan bahan api itu yang banyak berlaku di sempadan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar mampu mena­ngani aktiviti penyeludupan bahan api itu di sempadan negara, menurut pakar ekonomi.

Penganalisis ekonomi, Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Nanthakumar berkata, masalah penyeludupan diesel dapat dikurangkan kerana penyeludup terpaksa membayar harga lebih tinggi, mengikut pasaran.

Beliau berkata, penyeludupan minyak diesel sering berlaku di sempadan kerana harga pasaran diesel negara jauh lebih rendah dari negara jiran.

“Dengan terlaksana subsidi bersasar, agenda penyeludupan mampu dikurangkan kerana penyeludup terpaksa membayar harga yang tinggi berbanding keadaan semasa.

“Tetapi jika harga pasaran lebih rendah daripada tawaran harga diesel di negara jiran, penyeludupan tetap berlaku,” jelasnya.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan subsidi bersasar bahan api ke atas diesel terlebih dahulu sebelum disusuli RON95.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, subsidi bersasar diesel itu hanya melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

“Bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan terus menyediakan subsidi diesel kepada para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berpendapat, pelaksanaan subsidi diesel bersasar boleh menjimatkan kewangan kerajaan.

Pada masa sama kata beliau, langkah itu juga boleh membantu menyelesaikan masalah hutang yang kini mencapai 65 pe­ratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun katanya, dasar itu juga boleh meningkatkan kadar inflasi seterusnya memberi kesan kepada rakyat terutama golongan B40 dan M40. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN