SEREMBAN: Sepasang suami isteri masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memiliki 10,000 unit ubat batuk dengan menyalahgunakan cap dagang jenama Dynapharm, tahun lalu.
Tertuduh, James Ooi Joe Behn, 41 dan isterinya, Cheong Yin Ying, 39, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas semua pertuduhan dihadapi mereka bagi kapasiti individu, pengarah dan wakil syarikat selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, bagi mencapai niat bersama tertuduh telah didapati mempunyai dalam kawalan mereka bagi maksud perdagangan sebanyak 8,000 unit ubat batuk jenama Dynadryl Syrup yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah bagi imej dan perkataan Dynapharm di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] yang dijumpai di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Pertuduhan seterusnya, James Ooi yang mewakili syarikat Fedes Sdn. Bhd. manakala Yin Ying mewakili Rasa Ria (M) Sdn. Bhd. didapati mempunyai dalam kawalan mereka bagi maksud perdagangan sebanyak 2,000 unit ubat batuk jenama Dynadryl Syrup yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah bagi imej dan perkataan Dynapharm.
James Ooi turut berdepan pertuduhan selaku pengarah syarikat Fedes Sdn. Bhd. mempunyai dalam kawalan mereka bagi maksud perdagangan sebanyak 2,000 unit ubat batuk jenama Dynadryl Syrup yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah bagi imej dan perkataan Dynapharm.
Kesemua kesalahan tersebut dilakukan kira-kira pada pukul 12.50 tengah hari di Jalan Perindustrian Mantin 2, Kawasan Perindustrian Ringan Batu 8, Mantin, dekat Nilai di sini pada 15 Disember 2023. Berikutan itu, mereka melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta 815.
Hukuman bagi suatu pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barang yang dipakai dengan salah cap dagangan berdaftar.
Jika bukan suatu pertubuhan perbadanan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salap cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, boleh didenda tidak lebih RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Syazwani Zawawi mencadangkan kepada mahkamah agar tiada wang jaminan ditawarkan ke atas syarikat.
“Namun begitu bagi pertuduhan pengarah syarikat jumlah jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin perlu dikenakan oleh mahkamah. Isu kepentingan awam hendaklah diambil kira dalam kes ini kerana ia melibatkan ubat batuk pada satu jenama terkenal di pasaran.
“Justeru saya percaya akan timbul kegusaran dalam sistem kesihatan dan kepercayaan masyarakat terhadap ubat yang sah dan wajar diambil kira oleh mahkamah yang dalam masa sama menunjukkan keseriusan mahkamah mendengar kes ini sehingga ke penghujung dengan menetapkan jumlah jaminan yang tinggi,”katanya.
Bagaimanapun peguam, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dapat dikenakan memandangkan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan.
Mazni kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM30,000 bagi semua pertuduhan terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin. Kes disebut semula pada 19 Jun depan.-UTUSAN.










