Suami isteri abai dua anak hingga kereta rempuh bazar fail representasi - Utusan Malaysia

Suami isteri abai dua anak hingga kereta rempuh bazar fail representasi

SITI Salasiah Jumaah (kanan) dan suaminya, Muhammad Firdaus (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini bagi sebutan semula kes terhadap mereka yang dituduh mendedahkan dua anak dengan meninggalkan mereka dalam kereta tanpa pengawasan yang mungkin boleh menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sepasang suami isteri bakal memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi pertuduhan meninggalkan dua anak kecil dalam kenderaan tanpa pengawasan di Bazar Ramadan Kuala Klawang, di Jelebu, Mac lalu.

Peguam Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sembilan, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie yang mewakili Siti Salasiah Jumaah, 25, dan Muhammad Firdaus Shariman, 33, memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim, Norma Ismail di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini.

Ahmad Loqman Hakim memohon satu tarikh baru bagi sebutan semula kes dan representasi bagi pertuduhan bersama, pasangan berkenaan.

Selain itu, permohonan representasi bagi satu lagi pertuduhan Siti Salasiah sebagai pemandu kenderaan iaitu meninggalkan kenderaan tersebut dalam keadaan enjin tidak dimatikan sehingga mendatangkan kecederaan parah ke atas lelaki berusia 40 tahun turut dikemukakan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 19 Julai bagi sebutan semula kes dan keputusan representasi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memaklumkan mahkamah, sebutan kali ini adalah bagi fakta kes dan hukuman.

Pada 3 April lalu, pasangan berkenaan mengaku bersalah atas tuduhan mendedahkan dua anak berusia lima tahun dan setahun tiga bulan dengan meninggalkan mereka dalam kereta tanpa pengawasan yang mungkin boleh menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan pukul 5.30 petang di bahu jalan berhadapan tapak Bazar Ramadan Kuala Klawang, Jelebu pada 12 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagi pertuduhan bersama itu, mahkamah membenarkan kedua-duanya diberi jaminan sebanyak RM3,000 seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Sementara itu, Siti Salasiah yang juga suri rumah mengaku bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan tersebut, mahkamah membenarkan Siti Salasiah diberi jaminan RM1,000.

Media 14 Mac lalu melaporkan seorang peniaga bazar ramadan di pekan Kuala Klawang, Jelebu mengalami kecederaan melecur di badan selepas terkena minyak panas ketika berniaga selepas gerianya dirempuh sebuah kereta yang menggelongsor.

 Ketika kejadian terdapat dua kanak-kanak berada dalam kenderaan tersebut tanpa pengawasan ibu bapa.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN