SPM 2023: 1,467 pelajar rekod gagal semua mata pelajaran

SPM 2023: 1,467 pelajar rekod gagal semua mata pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Di sebalik rekod pencapaian terbaik yang dica­tatkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, seramai 1,467 pelajar atau 0.4 peratus memperoleh keputusan gagal atau G dalam semua mata pelajaran SPM tahun lalu.

Jumlah itu, menunjukkan sedikit peningkatan dari segi jumlah berbanding 2022 iaitu 1,439 pelajar, namun peratusannya masih kekal 0.4 peratus.

Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM tahun 2023 sebelum itu mendedahkan sebanyak 84.96 peratus daripada 373,525 calon SPM 2023 mempunyai tahap penguasaan minimum dalam menjawab ujian yang mengandungi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Keempat-empat elemen KBAT turut menunjukkan tahap penguasaan minimum yang tinggi iaitu kemahiran mengaplikasi dengan 89.23 peratus, menganalisis (89.71%), menilai (81.43%) dan mencipta (79.47%).

Secara keseluruhannya, calon SPM pada tahun lalu kurang menguasai kemahiran mencipta selepas analisis kualiti jawapan secara terperinci menunjukkan hanya 2.1 peratus berjaya memperoleh markah tinggi, sederhana (45.32%) dan rendah (31.97%).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, peratusan calon yang memperoleh tahap penguasaan minimum dalam KBAT sudah pun dijangka selepas Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan 50 peratus item KBAT dalam kertas peperiksaan sejak 2021.

Menurutnya, senario itu berpunca daripada proses pembelajaran di dalam kelas tidak mengamalkan KBAT khususnya di sekolah harian luar bandar dan pedalaman.

“Proses pembelajaran di dalam kelas cenderung menggunakan pembelajaran tahap rendah menjadikan pelajar tidak mahir apabila berdepan soalan KBAT dalam peperiksaan sebenar SPM.

“Alasan yang sering diberikan oleh guru-guru adalah pelajar tidak dapat menjawab soalan KBAT yang diberikan sehingga mereka terpaksa mengurangkan proses pembelajaran aras tinggi.

“Sebaliknya berdasarkan kajian, kebanyakan pelajar yang mahir menjawab soalan KBAT terdiri daripada calon dari sekolah berasrama penuh (SBP) seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan lain-lain kerana proses pembelajaran KBAT lebih mudah untuk dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Berdasarkan laporan analisis tersebut, secara keseluruhannya 55.11 peratus calon mempunyai tahap penguasaan baik dalam menjawab KBAT khususnya dalam elemen mengaplikasi (61.21%) dan menganalisis (60.99%).

Bagaimanapun, dua lagi elemen iaitu menilai dan mencipta menunjukkan peratusan rendah iaitu masing-masing pada kadar 50.75 peratus dan 47.50 peratus.

Mengulas lanjut, Anuar yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pelaksanaan KBAT sehingga 50 peratus dalam kertas soalan SPM hanya memberikan kelebihan kepada pelajar pintar yang mempunyai asas kuat dalam pembelajaran.

Tambahnya, perkara itu menjadikan sistem pendidikan negara bertambah kompleks berbanding negara maju lain yang mengamalkan KBAT dalam pembelajaran di kelas, bukannya dalam peperiksaan.

“Paling penting pada saya adalah seseorang pelajar itu menguasai asas pembelajaran sesuai dengan tahap pendidikannya. Sebagai contoh, murid sekolah rendah harus menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira,” katanya.

Beliau juga berkata, pemahaman golongan pendidikan terhadap KBAT harus diperbetulkan kerana apabila pelajar diminta menghafal jawapan tertentu bagi menjawab soalan, ia bukan lagi kemahiran berfikir aras tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN