SPD Tech Valley Senawang mampu tarik pelaburan baharu ke Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

SPD Tech Valley Senawang mampu tarik pelaburan baharu ke Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun (dua dari kanan) menerima taklimat mengenai pembangunan SPD Tech Valley pada Majlis Pecah Tanah SPD Tech Valley di Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Projek pembangunan industri baharu Seri Pajam Development (SPD) Tech Valley Senawang yang bernilai RM3 bilion dijangka dapat mengukuhkan Negeri Sembilan sebagai pusat inovasi dan teknologi serantau.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kawasan perindustrian berkeluasan 211 hektar itu yang berkonsepkan Taman Perindustrian Berpusat dan Berpagar (Managed Industrial Park) akan menarik kemasukan pelabur berpotensi tinggi.

“SDP Tech Valley dijangka akan menjadi motor penggerak ekonomi baharu di Negeri Sembilan dengan jangkaan dapat membuka lebih 40,000 peluang pekerjaan pada masa hadapan.

“Peluang pekerjaan ini kita sasarkan kepada pekerja tempatan berkemahiran tinggi melalui sektor pembuatan dan perkhidmatan (semi konduktor) sekali gus mendorong kemasukan pelabur asing dan tempatan yang akan menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah SPD Tech Valley di Senawang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif SPD Sdn. Bhd., Datuk Ten Ah Man dan Ketua Pegawai Eksekutif SDP Sdn. Bhd., Ten Wee Seong. 

Menurut Aminuddin, SPD Tech Valley dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM3 bilion merupakan antara projek terbesar di negeri ini yang berteraskan infrastruktur berteknologi tinggi serta diterapkan penggunakan teknologi hijau.

“Saya percaya bahawa kewujudan SPD Tech Valley bakal memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi serta peningkatan jumlah pelaburan di Negeri Sembilan.

“Di kesempatan ini, saya menyeru kepada para pemain industri dari dalam dan luar Negeri Sembilan untuk meneroka peluang pelaburan baharu yang disediakan di SPD Tech Valley Senawang kerana saya yakin pihak pemaju akan menawarkan pakej istimewa kepada pelabur terawal,” katanya.

Sementara itu, Wee Seong berkata, SPD Tech Valley merupakan Managed Industrial Park yang pertama di Negeri Sembilan dan dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) 

“Kerja tapak diSPD Tech Valley telah bermula dan ia akan dibina secara berperingkat dengan fasa pertama dijangka siap dalam masa dua tahun.

“Kawasan perindustrian ini telah didaftarkan dan akan menjadi taman industri pertama di Asia Tenggara yang menerima sijil Emas dalam Leadership in Energy and Environmental Design (LEED),” katanya.

Beliau berkata, komitmen SPD terhadap pencapaian pensijilan LEED dan GreenRE (teknologi hijau) menunjukkan kesungguhan syarikat dalam membangunkan kawasan perindustrian yang memfokuskan kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan berorientasikan ke arah keperluan pelabur.

 “SPD Tech Valley bukan saja sekadar kawasan perindustrian yang menyediakan tanah dan kilang siap, tetapi dilengkapi dengan fasiliti seperti  asrama pekerja berpusat (CLQ) yang menyediakan 5,000 katil, pusat komersial, pusat sokongan perniagaan yang dilengkapi dengan hotel dan fasiliti sukan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN