SKMM kena tegas bendung guna agama cetus kemarahan

SKMM kena tegas bendung guna agama cetus kemarahan

mcmc
SURUHANJAYA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA (SKMM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bersikap lebih tegas dalam membendung pihak-pihak tidak bertanggungjawab menggunakan agama untuk mencetuskan kemarahan masyarakat.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Muhammad Ikhlas Rosele berkata, ini kerana kebanyakan tindakan yang dianggap tiada batas itu dilakukan dalam media sosial.

“Bagaimanapun, sekiranya tiada undang-undang jelas menghalang mereka daripada melakukan maka pembangunan dari sudut spiritual dan keimanan perlu diperkukuhkan untuk cegah daripada tindakan tindakan tidak bertanggungjawab.

“Ini kerana dua aspek yang menghalang manusia iaitu undang-undang dan diri sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai langkah mencegah individu tidak bertanggungjawab menggunakan agama untuk mencetuskan kemarahan orang ramai.

Semalam, media melaporkan, Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berpandangan, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan pasar raya KK Mart tidak terbukti berasaskan kaedah kehakimanan Islam.

Beliau berkata, mengikut kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya, atau alqasdul jinaei (criminal intent).

Kata beliau, elemen itu tidak boleh dibuktikan melalui syahadah atau direct evidence dan ia hanya boleh dibuktikan dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian qarainul ahwal (circumstantial evidence).

Penjelasan itu dibuat susulan isu stoking tertera kalmah Allah yang dikatakan terdapat di rak jualan pasar raya tersebut yang melukai masyarakat orang Islam.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Ikhlas yang juga Ketua Jabatan Fiqh dan Usul mengingatkan umat Islam untuk mempertahankan agama dalam apa sahaja aspek.

Katanya, ini kerana penjagaan agama merupakan antara lima prinsip Maqasid Syariah.

“Jadi, tidak kisah aspek fizikal, penulisan atau lain-lain berkaitan seperti penggunaan media sosial, asalkan ia membawa elemen mempertahankan agama. Namun, jika sengaja menggunakan sentimen agama untuk cetus ketidakharmonian, maka itu tidak wajar.

“Islam tidak membenarkan umatnya untuk melakukan hal yang salah bagi tujuan betul. Matlamat tidak menghalalkan cara.

“Jadi kerana itu kita hanya bertindak atas fakta benar. Jangan timbul isu tidak benar atau menghebahkan sesuatu yang salah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN