Sistem Kod QR di CIQ mula diperkenalkan pertengahan Jun - Utusan Malaysia

Sistem Kod QR di CIQ mula diperkenalkan pertengahan Jun

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Penggunaan sistem Kod QR di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) akan bermula pertengahan bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, fasa pertama pelaksanaannya hanya melibatkan penumpang bas kilang sebelum diperluaskan secara berperingkat-peringkat dan penggunaan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

“Insya-Allah sistem ini akan mula dilaksana pada pertengahan bulan Jun ini dengan dianggarkan 5,000 penumpang dan 120 buah bas kilang pada setiap waktu puncak akan terlibat untuk fasa pertama di kedua-dua laluan BSI dan KSAB. Kerajaan negeri sedia bantu pelaksanaannya bagi memastikan ia berjalan lancar seperti diharapkan semua pihak,” katanya ditemui selepas menghadiri Sidang DUN Johor, di sini hari ini.

Mohamad Fazli berkata, pelaksanaan Kod QR bagi pengembara awam termasuk yang menggunakan kenderaan persendirian pula akan melibatkan penumpang secara berkumpulan.

“Memang masih perlu bawa pasport, tetapi pasport itu tidak perlu ditunjuk, sebaliknya mencukupi ditunjukkan Kod QR yang dihasilkan melalui sistem berkenaan.Mungkin satu kod boleh digunakan untuk beberapa orang, itu lagi mudah. Sebagai contoh, satu kereta ada lima orang dan pemandu hanya perlu turunkan tingkap, tunjuk kesemua lima orang dan tunjuk satu Kod QR. Sekiranya tiada masalah boleh jalan,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, pelaksanaan sistem Kod QR di CIQ BSI dan KSAB akan memendekkan tempoh proses pemeriksaan imigresen, sekali gus mempercepat pergerakan keluar masuk di kedua-dua pintu sempadan negara berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli memaklumkan cadangan pembinaan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Bertingkat di pusat bandar raya Johor Bahru melibatkan tiga jajaran dengan jarak lebih 50 kilometer serta 32 hentian.

Menurutnya, kos yang dianggarkan bagi pembinaan sistem pengangkutan awam itu hampir RM7 bilion.

“Kita memilih sistem ART bertingkat kerana faktor utama ia boleh siap lebih pantas berbanding sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT). Ini kerana kita mahukan ia dapat beroperasi serentak dengan projek Rapid Transit Ssstem Link (RTS Link)  (antara Johor Bahru dan Woodlands, Singapura) yang dijadualkan beroperasi pada Januari 2027.

“Ada tiga jajaran dicadangkan, iaitu Laluan Iskandar Puteri sepanjang 14.78 kilometer (km), Laluan Skudai (18.8 km) serta Laluan Tebrau (14 km) dan Ketika ini kajian sedang dijalankan dan dijangka siap pada Ogos tahun ini untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Pembinaan ART Bertingkat ini akan meliputi kira-kira 90 peratus kawasan di dalam wilayah Iskandar Malaysia yang turut akan dilengkapi dengan pakej pengangkutan awam seperti bas yang akan disambungkan dengan stesen-stesen kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya