KLANG: Taktik sindiket mengikrarkan curut seludup bernilai RM12.5 juta sebagai barangan makanan tumpas apabila dirampas pihak berkuasa di Pelabuhan Utara di sini, bulan lalu.
Curut dikenali sebagai ‘beedi’ yang diseludup dari negara jiran itu dipercayai hendak dijual di pasaran tempatan kepada warga asing.
Cubaan itu bagaimanapun dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit Dua (Selangor) yang menemukannya dalam sebuah kontena pada 15 April lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pemeriksaan pihaknya membawa rampasan sebanyak 500,000 batang beedi dengan nilai dagangan berjumlah RM40,000.
“Semakan lanjut kira mendapati barangan yang lengkap dibungkus itu tidak mempunyai permit import.
“Sindiket juga membuat pengikraran palsu dengan mengikrarkan dagangan sebagai ‘foodstuff’ bagi mengelak dikesan JKDM,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini, hari ini.
Jelas beliau, pihaknya sedang mengesan pihak atau syarikat yang terlibat dalam penyeludupan curut tersebut.
Dalam pada itu, tambah Norlela, pihaknya turut merampas rokok seludup bernilai lebih RM74 juta bagi dua kes berasingan di Pelabuhan Barat pada 19 Mac dan 2 April lalu.
“Kesemua 116,860 batang rokok itu ditemukan dalam 11 kontena dipercayai daripada pihak pengirim yang sama. Ia melibatkan kesalahan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) iaitu tiasa permit import bagi rokok transit,” katanya.










