PETALING JAYA: “Siapa yang tak mahu berada di pentas gah Anugerah Juara Lagu (AJL)?”
Demikiran respons penyanyi, Mila Jirin apabila peminat mahu melihat dia berdiri di pentas AJL mempertandingkan single baharunya, Sandera yang dilancarkan sebulan lalu.
Jelas usahawan berjaya itu, pujian yang diterima daripada peminat menguatkan semangatnya untuk terus aktif dalam bidang nyanyian selepas ‘hiatus’ beberapa tahun sebelum ini.
“Semestinya kalau dapat tembus barisan lagu-lagu terbaik ke pentas AJL itu adalah impian bagi kebanyakan penyanyi. Saya sendiri menganggap itu sebagai penanda aras sejauh mana kehebatan sesebuah lagu yang dinyanyikan.
“Saya yakin susunan muzik Amylea memberi majis buat sesiapa saja yang mendengar. Yang penting saya perlukan sokongan semua untuk sama-sama membawa Sandera ke pentas berprestij itu,” katanya.
Mila dalam keterujaan sama juga berjanji untuk tidak lagi menyepi daripada bidang nyanyian kerana perniagaannya iaitu Bizzmilla yang dibina sedekad lalu sudah mampu berdiri sendiri.
Malah Mila mahu mengembangkan bakat bukan hanya sekadar menyanyi tetapi juga mengintai potensi dalam perniagaan bidang seni pula.
“Setahun atau dua tahun lalu, saya ada berkongsi video menyanyi di media sosial dan ramai yang tanya kenapa sia-siakan bakat. Semua pun tahu, saya cuba pujuk suami.
Walaupun pada mulanya suami agak berat nak membenarkan kerana kesibukan kami dalam perniagaan, tetapi dia tahu jauh di sudut hati saya masih mahu menyanyi. Alhamdulilla”, dia izinkan.
“Kerana itu saya gunakan peluang yang ada. Saya mahu kembalinya Mila Jirin dalam industri seni suara ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” tuturnya.
Tambah Mila, dia juga berharap mempunyai sebanyak lagu yang boleh agar dapat menunaikan impiannya menganjurkan ‘showcase’ A Night With Mila Jirin’ di Bizmilla Banquet Hall.
Sementara itu, bercakap mengenai Sandera, kata Mila, perkataan itu sendiri bermaksud tentang seseorang yang terperangkap dan menjadi tebusan kepada sesuatu.
“Kalau dikaji semua lirik ini, adalah satu perasaan yang terperangkap disebabkan perlu memenuhi kehendak orang tang dia sangat cintai. Terkejut juga baca lirik-lirik ini. Amylea pandai penggunakan bahasa yang indah dalam lagu-lagunya.
“Terasa seperti lagu ini begitu sesuai dengan saya yang semakin matang daripada segi pembawaan dan penjiwaan nyanyian.
“Alhamdulillah, berbekalkan pengalaman dahulu juga, proses rakaman hanya diambil selama 5 jam saja,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya pula mengenai pemilihan Nonny sebagai pelakon muzik video Sandera, Mila mahu memberi ruang kepada teman baiknya itu kembali bergiat aktif dalam industri lakonan.
“Alhamdulillah, berdasarkan komen-komen yang saya baca, ramai yang menyokong Nonny untuk kembali bergiat aktif dalam lakonan.
“Apa yang saya fikir, ini peluang untuk dia. Mana tahu selepas ini penerbit drama semua cari dia kan,” ujar Mila.-UTUSAN