KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, tiada penyelesaian dikemukakan kepada seorang bekas pengarah SRC International bahawa saman AS$1 bilion yang difailkan terhadapnya oleh syarikat pelaburan strategik negara itu, akan digugurkan.
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 54, berkata, beliau tidak mempunyai pengetahuan mengapa kerajaan atau SRC tidak meneruskan tuntutan saman terhadapnya.
“Saya tidak mengetahui mengapa nama saya digugurkan dan tidak bertanya alasan mengapa syarikat itu bertindak demikian,’’ ujarnya ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.
Shahrol Azral berkata demikian ketika memberi keterangan selaku pihak ketiga dalam saman sivil AS$1.18 bilion SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.
Shahrol Azral pada mulanya dinamakan sebagai defendan keempat, bagaimanapun dikeluarkan oleh SRC dan kemudian dinamakan sebagai pihak ketiga atas permohonan Najib.
Bekas pengarah SRC lain yang turut dinamakan sebagai pihak ketiga ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar dan Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin.
Dalam saman terbabit, selain Najib, SRC turut menamakan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan kedua.
Shahrol Azral bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa saman itu mula difailkan pada Mei 2021 dan SRC kemudian menarik balik tuntutannya.
Ketika itu, beliau memberikan keterangan pada perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri.
Ketika disoal sama ada beliau meletak jawatan daripada SRC kerana mendapati ada sesuatu yang tidak kena dalam syarikat terbabit, Shahrol Azral menjawab, “tidak”.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. – UTUSAN










