Rasuah: Pengurus besar, dua pegawai kanan agensi kerajaan direman empat hari

Rasuah: Pengurus besar, dua pegawai kanan agensi kerajaan direman empat hari

KESEMUA tertuduh yang memakai baju lokap berwarna oren dibawa untuk prosiding mendapatkan tahanan reman di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan direman selama empat hari bersama dua pegawai kanan bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah melibatkan projek pembekalan di negeri ini.

Perintah reman yang bermula hari ini hingga Khamis itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Nik Habri Muhamad bagi membolehkan ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 17a Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dalam prosiding sama, seorang pegawai kanan di agensi terbabit yang ditahan pada 30 April lalu kerana disyaki membuat tuntutan palsu turut disambung reman selama tiga hari bermula esok hingga Khamis ini.

Sebelum ini, pegawai kanan terbabit telah direman selama enam hari dan tempoh tahanan remannya tamat hari ini.

Terdahulu, keempat-empat lelaki berusia 40 hingga 49 tahun yang memakai baju lokap berwarna oren itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada pukul 9.15 pagi dengan menaiki van SPRM untuk prosiding reman.

Utusan Online semalam melaporkan, seorang pengurus besar dari sebuah agensi kerajaan di sini hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes pegawai kanannya yang disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.

Menurut sumber, pengurus tersebut ditahan pada pukul 11 pagi tadi oleh SPRM semasa dipanggil memberi keterangan di pejabat agensi penguat kuasa berkenaan.

“Lelaki berusia 50-an itu akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman,” katanya.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapat pengesahan berkait perkara itu Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain gagal apabila panggilan tidak dijawab.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN