PRK Kuala Kubu Baharu bukti kerajaan Perpaduan semakin diterima rakyat - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu bukti kerajaan Perpaduan semakin diterima rakyat

WAN ROSDY Wan Ismail ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-78 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kemenangan calon kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baru (KKB) menandakan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) semakin diterima pengundi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ahli akar umbi UMNO sendiri juga sudah mula menerima hakikat parti tersebut adalah sebahagian daripada kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, penerimaan itu juga dapat dilihat menerusi beberapa siri PRK sebelum ini seperti di DUN Tioman dan Pelangai.

“Kita dapat melihat dengan data sekali, macam di Pelangai saya dapat tahu kawasan tersebut adalah kubu kuat daripada parti PH, mereka keluar mengundi (untuk) calon BN. Begitu juga kita di (DUN) Kuala Kubu Baru, kawasan tersebut memang kubu kuat UMNO, mereka pun keluar mengundi.

“Saya sempat turun tiga kali (kempen) di kampung Orang Asli kubu kuat UMNO tetapi mereka turun awal dan sokong calon kerajaan. Ini adalah politik semasa dan kita seharusnya lihat dan kena terima keadaan semasa. Kita juga kena teruskan semangat ini supaya kita kembali kuat untuk parti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-78 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di sini semalam.

Wan Rosdy berkata, sudah menjadi kewajaran bagi UMNO untuk memenangkan calon daripada pihak kerajaan apabila BN menjadi sebahagian kerajaan Perpaduan.

Katanya lagi, dalam suasana politik semasa, parti-parti politik perlu menyesuaikan diri dan melihat ke hadapan serta saling membantu.

“Kita UMNO tidak seperti dulu, (kita) berkongsi kuasa dan (menjadi) sebahagian daripada mereka. Takdir ada (berlaku) PRK, takkan kita tidak membantu sedangkan kita bersama. Walaupun pahit bagi kita sebab kisah dulu tetapi dalam politik kita perlu lihat ke hadapan.

“Kalau mereka tunjuk keikhlasan mereka dan sudah ada (beberapa) PRK sebelum ini, mereka berjaya serta mendapat sokongan,” ujarnya.

Keputusan PRK Kuala Kubu Bharu pada Sabtu, menyaksikan calon PH daripada DAP, Pang Sock Tao menang dengan 3,869 undi majoriti selepas memperoleh 14,000 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut memperoleh 10,131 undi, diikuti calon Bebas, Nyau Ke Xin dengan 188 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin yang meraih 152 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN