PRK KKB ada tanda positif buat PN - Saifuddin - Utusan Malaysia

PRK KKB ada tanda positif buat PN – Saifuddin

SAIFUDDIN Abdullah (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir rumah terbuka PN Parlimen Indera Mahkota di Kampung Padang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sokongan luar jangka buat calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) memberikan petanda positif buat gabungan berkenaan memenangi kerusi tersebut.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, keyakinan tersebut diperolehi selepas melihat sokongan dan penerimaan pengundi yang menggalakkan sepanjang jentera menjalankan kempen berkenaan.

“Saya nampak ada perubahan daripada segi sokongan rakyat terhadap parti-parti politik yang bertanding.

“Masalah yang berlaku dalam UMNO terutamanya yang mutakhir (iaitu) soal titah adendum, nampak pimpinan UMNO dalam Kabinet tidak tetap pendirian dan tidak berani (bersuara),” katanya ketika ditemui pemberita di rumah terbuka PN Parlimen Indera Mahkota di Kampung Padang di sini.

Tambah Saifuddin, tindakan MCA dan MIC yang mengumumkan untuk tidak turun berkempen juga memberi nilai tambah dan peluang cerah untuk meraih sokongan daripada masyarakat bukan Melayu.

“Kita juga mendapat sambutan luar jangka daripada orang UMNO yang kita kenal, malah pelancaran jentera pemuda PN untuk PRK KKB sudah dibuat di rumah salah seorang orang kuat UMNO di Batang Kali, Selangor. Ini semua petanda yang cukup baik,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota bagaimanapun mengingatkan semua jentera supaya bekerja lebih kuat kerana harapan menang itu cukup cerah.

Pada PRK Kuala Kubu Bharu ini, calon PN, Khairul Azhari menghadapi tentangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (calon Bebas).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN