KUANTAN: Polis Pahang akan mempertingkatkan keselamatan di semua balai polis seluruh negeri dengan kadar segera susulan tragedi serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam.
Tragedi berdarah tersebut mengorbankan dua anggota polis, Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, 24, dari Kuantan dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dari Bidor, Perak yang cedera ditetak serta ditembak.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, setiap balai polis di negeri ini diarahkan sentiasa bersiap-siaga dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku tanpa mengira masa.
Menurutnya, perkara itu dititik-beratkan dalam meningkatkan keselamatan bukan sahaja anggota polis malah orang awam.
“Di kontinjen Pahang ini saya sudah mengarahkan kepada semua ketua polis bagi setiap daerah untuk memastikan anggota yang bertugas di balai-balai berada dalam keadaan siap-siaga. Ini termasuk juga dalam menitikberatkan daripada segi keselamatan ketika menjalankan tugas.
“Semua perkara melibatkan keselamatan akan terus dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga Muhammad Syafiq di Taman Sri Mahkota Jaya, dekat Jaya Gading di sini hari ini. – UTUSAN










