PETALING JAYA: Kemenangan calon DAP, Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu semalam disebabkan pengundi Melayu tidak termakan dengan kempen lapuk Perikatan Nasional (PN).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi berkata, PN kalah tidak bermaruah pada PRK tersebut kerana mereka penuh fitnah dan serangan peribadi melampau.
“Mereka berkempen dengan akal pendek. Mengusung ubi kayu dan replika UMNO-DAP semasa hari penamaan calon. Replika itu simbol perkauman PN.
“Ternyata pengundi Melayu tidak termakan dengan kempen lapuk. Sebab itu PN kalah di 6 dari 8 Pusat Mengundi Wilayah (PDM) Melayu. Kempen PN tidak bermaruah. Kali ini ia ditolak. Sebab itu kekalahan PN tidak bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) menerusi calon mereka, Pang Sock Tao memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi dan memperolehi 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.
Sementara itu, pencabar utama Sock Tao daripada Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.
Dua lagi calon iaitu Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas) masing-masing memperoleh 152 dan 188 undi.










