POKOK SENA: Jangkaan Malaysia terus berdepan cuaca panas hingga Julai ini susulan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) dan fenomena El Nino meresahkan golongan pesawah di negeri ini.
Mereka khuatir kerana ketika ini sudah pun berdepan kemerosotan hasil padi antara 20 hingga 30 peratus pada musim lalu terutama di kawasan Pokok Sena yang pernah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba pada Mac lalu.
Menurut Mohd. Farid Shafie, 38, dari Gulau, lebih 30 hektar sawah hasil usahanya turut terkesan dengan suhu panas pada musim penanaman sebelum ini sehingga padi menjadi ringan dan kering.
“Padi jadi kosong sebab suhu ekstrem sangat dan kita ingat panas biasa-biasa sampai ada yang dah buang air 20 hari sebelum menuai. Tiba-tiba suhu terlalu panas mengakibatkan pokok padi cepat kering dan buah padi kurang berisi beras.
“Bukan salah siapa pun, ada yang menjadi sampai tujuh dan lapan tan per hektar. Cuma ada yang silap percaturan mengakibatkan bendang cepat kering sehingga pokok terbantut dan menjejaskan pokok padi yang tengah bunting ketika itu,” katanya.
Mengikut rekod Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), tarikh mula bekalan air fasa satu bagi musim penanaman 1/2024 adalah pada 17 April lalu sebelum tarikh akhir menabur benih sekitar 29 Mei ini.
Mohd. Farid berkata, fenomena El Nino yang melanda ketika ini mengakibatkan hasil tuaian turut menyusut dan tinggal kira-kira lima tan metrik per hektar berbanding tujuh tan metrik per hektar ketika musim-musim sebelum ini.
“Tapi selagi MADA jamin tiga empangan mencukupi untuk pengairan musim ini, kami tak risau untuk tanam semula. Cuma kena lebih peka pada ramalan cuaca agar tak buang air dari petak awal-awal dan ikut jadual penanaman yang ditetapkan MADA,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Jamil Abdullah, 44, berkata, Kedah memang memerlukan cuaca panas musim ini bagi menstabilkan tanah untuk rawatan tanah jerlus tapi bukanlah cuaca yang terlampau panas sehingga menjejaskan hasil petani.
Jamil yang mengusahakan lebih 35 hektar sawah juga terkesan apabila purata hasil diperoleh sekitar enam tan metrik per hektar berbanding sebelum ini sebanyak tujuh tan metrik per hektar.
“Padi saya pun hasil tak padat, bila terlalu panas padi menjadi kering dan tak ada isi berbanding tahun lepas. Dulu biasa dapat tujuh tan metrik lebih, tapi sekarang ini dalam enam tan metrik per hektar saja. Bukan sahaja pokok jadi kering malah sawah ditimpa penyakit seperti bena perang dan serangan makhluk perosak lain, tapi masih dapat dikawal,” katanya.
Petani dari Kampung Balik Bukit, Aziz Mat, 82, yang mengusahakan lapan hektar sawah turut kehilangan hasil kerana hanya lima hektar sawahnya mengeluarkan hasil susulan kemarau.
“Kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000 sebab banyak petak sawah tak ada isi, jadi hampa (kosong), panas sangat sampai tangkal kecut dan patah.
“Tiga hektar saya tak dapat apa-apa hasil sebab cuaca panas melampau,” katanya.










