Persediaan rapi Tabung Haji sambut ketibaan jemaah haji Malaysia

Persediaan rapi Tabung Haji sambut ketibaan jemaah haji Malaysia

ASHROF Shamsuddin menunjukkan kawasan sektor penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADINAH: Tahap persediaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) bagi menerima kehadiran 31,600 jemaah haji Malaysia kini mencapai 90 peratus.

Naib Konsul Haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin berkata, persediaan rapi itu meliputi kemudahan penginapan, perbankan, kaunter guru agama, perubatan dan perkhidmatan penghantaran barang serta bagasi ke tanah air.

Katanya, skala tersebut turut meliputi 10 maktab dan tiga hotel di Madinah .

“Semuanya berjalan lancar. Saya letakkan 90 peratus skala tahap persediaan kita untuk musim haji tahun ini.

“Baki 10 peratus itu disebabkan kebenaran urusan pemasangan kelengkapan yang hanya dibolehkan pihak hotel tiga hari sebelum tiba jemaah haji dan bukannya lebih awal,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Tabung Haji di Madinah, Roha Al-Madinah.

Sebagai rekod, seramai 31,600 jemaah haji bakal berlepas secara berperingkat menerusi penerbangan pertama bermula 9 Mei ini sehingga penerbangan terakhir 9 Jun nanti.

Selain jemaah haji, hampir 600 petugas akan digerakkan ke Tanah Suci tahun ini bagi membantu memudahkan urusan jemaah haji.

Tambah Ashroff, tiga bangunan di Madinah melibatkan dua zon dan 10 maktab di Mekah akan dijadikan tempat penginapan jemaah haji nanti.

Dalam pada itu, Ashroff berkata, semua jemaah haji akan menetap selama enam hari lima malam di Madinah, mempunyai aktiviti yang telah dirangka pihak Tabung Haji.

“Terdapat beberapa aktiviti manfaat yang telah di rangka untuk jemaah haji antaranya program taklimat Tabung Haji dan ziarah makam Rasulullah SAW selain ziarah luar meliputi beberapa kawasan antaranya Masjid Quba serta Jabal Uhud.

“Kita harapkan jemaah haji mengambil kebaikan, pelajaran dan pengalaman daripada kisah sejarah yang mereka lawati,” jelasnya.

Ashorff dalam masa yang sama berkata, inisiatif mewujudkan kumpulan WhatsApp yang bermula tahun lepas akan diteruskan pada tahun ini bagi penyaluran maklumat penting.

“Semua jemaah haji akan dimasukkan dalam kumpulan tersebut mengikut penerbangan masing-masing.

“Apabila jemaah haji tiba di Madinah nanti pengurusan Tabung Haji akan menjadi pentadbir (admin) kumpulan WhatsApp itu, sebelum ia digantikan pihak di Makkah pula bagi kumpulan WhatsApp sama apabila Dhuyufurrahman terbabit bergerak ke sana,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN