KUALA LUMPUR: Kemenangan calon PH mewakili Kerajaan Perpaduan di enam daripada lapan Pusat Mengundi Wilayah (PDM) majoriti Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menunjukkan orang Melayu mula untuk mengubah sikap.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengundi Melayu menyedari hakikat bahawa sentimen perkauman dan agama tidak perlu lagi dijadikan jaminan untuk meraih undi.
“Mereka mula memahami bahawa Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbangun atas Titah Tuanku Agong ini tidak pernah sesekali meminggirkan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera, malah terus diperkasakan sebagai asas kestabilan negara berbilang kaum dan agama.
“Insya-Allah UMNO sebagai salah satu daripada 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini akan terus mempertahankan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera sebagaimana perjanjian yang dimeterai dan dipersetujui oleh semua.
“Yang penting lanskap politik baharu ini perlu diperkasakan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, PH menerusi calon mereka, Pang Sock Tao memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi dan memperolehi 14,000 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.
Sementara itu, pencabar utama Sock Tao daripada Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.
Dua lagi calon iaitu Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas) masing-masing memperoleh 152 dan 188 undi.











