Pendapatan Pusat Perubatan Mawar meningkat - Utusan Malaysia

Pendapatan Pusat Perubatan Mawar meningkat

LEE Tian Hock berbual bersama tetamu yang hadir pada Majlis Malam Penghargaan MMC di Bandar Sri Sendayan, Seremban.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pusat Perubatan Mawar (MMC) Seremban mencatatkan pendapatan sebanyak RM94.9 juta bagi tahun kewangan 2024 iaitu merupakan peningkatan sebanyak 52.1 peratus selepas mencatatkan pendapatan sebanyak RM62.4 juta dalam tahun kewangan 2023.

Pengerusi Pusat Hemodialisis Mawar, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, peningkatan pendapatan itu adalah disebabkan peningkatan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

“Keuntungan kasar bagi tahun kewangan 2024 adalah sebanyak RM51.8 juta berbanding RM31.1 juta bagi tahun kewangan 2023, ini peningkatan sebanyak 66.6 peratus.

“Ini telah menghasilkan peningkatan margin keuntungan kasar kepada 54.7 peratus dalam tahun kewangan 2024 daripada 49.8 peratus bagi 2023 disebabkan oleh pengurusan kos yang lebih baik dan kecekapan operasi.

“MMC juga mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM14.9 juta dalam tahun kewangan 2024 berbanding dengan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM2.4 juta dalam tahun kewangan 2023 menandakan peningkatan sebanyak 520.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Malam Penghargaan MMC di Bandar Sri Sendayan di sini.

Tian Hock dalam pada itu memberitahu, melalui penyediaan perkhidmatan perubatan menyeluruh merangkumi pelbagai disiplin terapeutik, MMC telah mengalami peningkatan ketara dalam lawatan pesakit iaitu 19.68 peratus dalam tahun kewangan 2024 berbanding tahun kewangan bersesuaian.

“Untuk menampung permintaan yang meningkat ini, kami telah memperluaskan kapasiti katil kami kepada 77 katil dan memastikan setiap pesakit menerima penjagaan yang layak diterima.

“Matlamat kami adalah untuk mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan untuk 32 katil tambahan bertujuan untuk mencapai jumlah 109 katil menjelang tahun kewangan 2026,” katanya lagi.

Beliau sementara itu menjelaskan, MMC telah membuat pelaburan besar sebanyak RM10.18 juta untuk meningkatkan peralatan perubatannya bagi memastikan MMC kekal di barisan hadapan inovasi perubatan.

“Antara peralatan perubatan bertaraf tinggi yang telah kami peroleh termasuk mesin MR1 1.5 Tesla, sistem angiografi terkini, peralatan laparoskopi dan sistem endoanal ultrasound. Kami juga merupakan hospital swasta pertama di Negeri Sembilan yang memiliki mesin Fibroscan dan sistem endoskopi ultrasound, menyediakan perkhidmatan gastroenterologi dan hepatologi menyeluruh,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN