PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan petugas khas susulan jemaah haji terkandas di Mekah dan Madinah akibat terpedaya dengan pakej haji menggunakan visa pelancong.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pasukan khas itu akan mengambil tindakan terhadap agensi berkaitan.
Jelas beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berkaitan isu itu.
“Kita mengambil maklum dan memantau perkara (isu jemaah terkandas) ini. Setakat ini terdapat satu laporan diterima di Negeri Sembilan. Siasatan awal mendapati kes tersebut di bawah tindakan Tabung Haji.
“Bagaimanapun, sebagai tindakan proaktif, satu pasukan petugas khas ditubuhkan untuk kita ambil tindakan di bawah undang-undang tertentu.
“Justeru, mana-mana individu yang didakwa ditipu syarikat agensi pelancongan mengenai pakej haji boleh melaporkan kepada pihak polis atau agensi berkaitan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ramli turut menasihatkan orang ramai yang ingin mengerjakan ibadah haji melalui agensi pelancongan agar merujuk kepada pihak berkaitan.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran murah atau mengerjakan haji secara persendirian. Sentiasa buat semakan dengan MOTAC dan Tabung Haji,” katanya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan ada jemaah haji terkandas di Mekah selepas pasport mereka dipegang agensi pelancongan sekali gus tidak dapat pulang ke tanah air.
Seorang wanita dikenali sebagai Ena, 33, berkata, ibu bapanya juga antara yang terkait dengan isu jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Malah dia mengakui puluhan jemaah yang dikendalikan agensi beribu pejabat di Seri Kembangan, Selangor itu berdepan situasi sama sejak tiba di tanah suci, minggu lalu.
Mereka juga gagal balik ke tanah air setelah pasport dipegang ejen dan perlu menandatangani surat akuan sebelum dapat diserah dokumen perjalanan tersebut.
Pada 12 Mei lalu, kira-kira 300 bakal jemaah haji yang sudah berada di Mekah dilaporkan terkandas apabila agensi yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan ibadah itu pada musim ini.
Bakal jemaah haji terbabit menyedari mereka diperdaya selepas mendapati pakej murah yang ditawarkan oleh agensi itu menggunakan visa pelancong. – UTUSAN










