Papan markah Stadium Sultan Muhammad IV alami kerosakan serius

Papan markah Stadium Sultan Muhammad IV alami kerosakan serius

STADIUM Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan sudah bersiap sedia untuk saingan Liga Malaysia musim 2025/2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mendedahkan papan markah digital utama di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini tidak lagi dapat diselenggarakan selepas mengalami kerosakan serius.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya telah berhubung dengan kontraktor bertanggungjawab dan mendapat penjelasan mengenai kerosakan papan pemarkahan itu.

“Saya dimaklumkan kos baik pulih papan pemarkahan itu boleh mencecah sehingga lebih RM80,000 tetapi mereka (kontraktor) tidak boleh memberi jaminan bahawa ia (papan pemarkahan) boleh kembali berfungsi secara normal.

“Sekarang ini kita mahu melihat dahulu sejauh mana keperluan papan pemarkahan utama itu bagi pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berikutan kita sudah menyediakan ‘secondary score board’ di kawasan tempat duduk berbumbung,” katanya.

Zamakhshari memberitahu, sekiranya pihak MFL menyatakan kemudahan itu tidak diwajibkan mungkin keutamaan baik pulih akan dialihkan kepada perkara-perkara lain yang perlu didahulukan seperti baik pulih padang.

“Hasrat kita memang mahu mengekalkan papan pemarkahan utama itu tetapi perlu juga dilandasi dengan keupayaan kewangan kerajaan negeri. Tambahan pula ‘secondary score board’ sudah memenuhi kriteria MFL.

“Kita juga perlu memberi keutamaan kepada baik pulih sistem perparitan sekitar stadium yang perlu disegerakan. Kita sudah terima peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan menyasarkan kerja baik pulih dilaksanakan sebaik sahaja tempoh rehat Liga Super musim 2024/2025 bermula,” ujarnya.

Zamakhshari memberitahu, kerja baik pulih sistem perparitan perlu disiapkan sebelum tiba musim Monsun Timur Laut (MTL) bagi memastikan kelancaran perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN