Operator tidak berlesen lupus sisa secara haram - SWCorp Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Operator tidak berlesen lupus sisa secara haram – SWCorp Negeri Sembilan

TIMBUNAN sampah termasuk sisa binaan yang dibuang di satu kawasan pembuangan sampah haram di Kampung Jimah Lama, Port Dickson ketika tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan telah segera mengambil tindakan terhadap laporan keresahan penduduk di Kampung Jimah Lama di Port Dickson berhubung terdapatnya tanah persendirian di kampung itu yang dijadikan kawasan pelupusan sampah haram.

Pengarahnya, Hazahar Hashim berkata, selepas laporan tersebut disiarkan Utusan Malaysia pada 1 Mei lalu, pihaknya telah menjalankan satu operasi penguatkuasaan di kampung berkenaan yang terletak bersebelahan dengan Sungai Lukut Besar.

Jelasnya, hasil siasatan di lokasi terbabit mendapati tanah tersebut adalah milik persendirian yang digunakan untuk melupuskan sisa secara haram oleh operator yang tidak berlesen.

“Siasatan juga mendapati sisa yang dibuang dan dilonggokkan adalah daripada jenis sisa binaan, sisa pukal dan sebilangan kecil daripada lain-lain sisa. Lokasi tersebut digunakan untuk pelupusan sisa oleh syarikat kontraktor yang mengambil kerja-kerja kutipan yang dilantik oleh sebuah syarikat perumahan.

“Oleh yang demikian, satu notis pemberitahuan kesalahan telah dikeluarkan kepada operator haram di bawah Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, 2007 (Akta 672).

“Tiada seorang pun boleh melonggokkan, mengasingkan, menstorkan, menyimpan, memungut, memindahkan, mengangkut, mengolah atau melupuskan atau menyebabkan atau membenarkan supaya dilonggokkan, diasingkan, distorkan, disimpan, dipungut, dipindahkan, diangkut, diolah atau dilupuskan apa-apa sisa pepejal terkawal selain mengikut akta ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut seksyen itu, jika disabitkan bersalah, pelaku boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Hazahar menambah, lokasi pelonggokan sisa pepejal terkawal di Kampung Jimah Lama itu telah dipasang pita amaran di jalan masuk ke lot tersebut.

“Pemantauan, risikan dan intipan juga akan dijalankan dari semasa ke semasa supaya tiada pertambahan pelonggokan sisa pepejal terkawal di lokasi berkenaan.

“SWCorp Port Dickson khususnya akan menyerahkan Notis Arahan Menghantar Sisa Pepejal Terkawal Ke Kemudahan Sisa Pepejal (Seksyen 75 Akta 672) kepada pemilik tanah. Sekiranya pemilik gagal mengambil tindakan dalam tempoh yang ditetapkan, kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan undang-undang selanjutnya,” jelasnya.

Kata beliau, SWCorp tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pelonggokan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran.

“Tindakan undang-undang akan diambil bagi membendung aktiviti sebegini dari terus berlaku oleh itu maklumat dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan,” katanya.

Baru-baru ini akhbar ini melaporkan penduduk di Kampung Jimah Lama, Port Dickson meminta pihak berwajib mengambil tindakan sepatutnya berhubung sebidang tanah persendirian di kampung itu yang telah dijadikan tapak pelupusan sampah haram.

Menurut mereka, tempat pembuangan sampah haram termasuk sisa binaan itu berada berdekatan dengan beberapa buah rumah penduduk sekali gus boleh memberi risiko kepada kesihatan penduduk.

Kawasan pembuangan sisa seluas 0.4 hektar itu juga berada sangat hampir dengan sungai malahan kawasan kampung itu juga menurut penduduk merupakan kawasan kerap berlaku banjir.

Salah seorang penduduk, Mohammad Abd. Latif, 66, berkata, kawasan tanah itu mula dilihat aktif dijadikan tempat pembuangan sampah haram sejak bulan Oktober tahun lalu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×