JOHOR BAHRU: Seorang nenek berusia 75 tahun antara empat ditahan melibatkan sindiket pengedaran dan pembungkusan dadah di sebuah rumah atas air sekitar Pontian, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, serbuan bermula pukul 1.30 pagi, merampas pelbagai jenis dadah seberat lebih 26 kilogram (kg) bernilai RM4.3 juta.
Katanya, serbuan hasil risikan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis (IPK) Johor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.
Tambahnya, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan sejak Februari lalu.
“Modus operandi sindiket ini menjadikan rumah atas air sebagai tempat pemprosesan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Kebiasaannya lokasi yang dijadikan pusat menjalankan kegiatan seumpama ini adalah kawasan perumahan berpengawal dan berpagar seperti pangsapuri tetapi ini rumah biasa.
“Kita mungkin tidak mengesyaki rumah seperti ini digunakan. Ini satu modus operandi Baharu (sindiket dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Polis merampas 25.5 kg serbuk ektasi, 970 biji pil eramin 5 seberat 275 gram (g), 1,700 biji pil ekstasi (532g), sepeket ketamin (232g) dan 15 peket ganja (369g) bernilai RM4.32 juta.
Dalam serbuan sama, polis turut merampas pelbagai alat memproses dadah dan membungkus serbuk ekstasi.
Sebanyak enam kereta, wang tunai RM21,000 dan wang tunai dolar Singapura $13,000 (RM45,676) turut dirampas.
Kumar memberitahu, rumah tersebut milik dua beradik iaitu suspek wanita warga emas bersama seorang suspek lelaki, yang ditahan. – UTUSAN










