KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak permohonan pekebun durian Musang King di Raub.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan itu berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian Musang King di Raub pada 24 April yang lalu.
“Beta berharap semua pihak menghormati keputusan mahkamah tersebut,” titah baginda ketika menyempurnakan Mesyuarat Pertama Penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, semalam.
Pada 24 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman difailkan 186 pekebun yang mengusahakan tanaman durian Musang King secara haram di Raub.
Pekebun terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam Musang King di sekitar Raub termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau, seluas kira-kira 2,167 hektar.
Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang terus proaktif dalam memperkasa penguatkuasaan undang-undang terhadap kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan negeri.
Baginda turut berbangga dengan usaha kerajaan Pahang dalam mengatasi ketirisan hasil negeri akibat perbuatan itu.
“Beta dimaklumkan pada 2023, sebanyak RM2.7 juta kompaun dan denda berjaya dikutip berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1.5 juta, malah terdapat 15 kes telah dibawa ke muka pengadilan.
“Malah beta dimaklumkan pentadbiran kerajaan beta pada hari ini tidak lagi mengenakan kompaun terhadap aktiviti pencerobohan tanah kerajaan, sebaliknya mengheret mereka yang didapati melakukan aktiviti tersebut terus ke mahkamah. Syabas dan tahniah atas tindakan tegas ini,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri atas kejayaan mengangkat daerah Lipis sebagai Geopark Kebangsaan.
“Beta berharap menerusi pengiktirafan Lipis Geopark ini, kerajaan beta dapat merancang strategi baharu pelancongan negeri dan membina persepsi awam mengenai keunikan dan keprihatinan menjaga warisan berharga yang ada di negeri ini,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah dalam pada itu sempat berseloroh meminta mendoakan supaya Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah segera berkahwin.
“Mudahan-mudahan juga kita doakan anakanda (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah) segera kahwin,” seloroh baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargan buat Tengku Hassanal sepanjang memegang tugas sebagai Pemangku Raja selama tempoh lima tahun bermula 2019. – UTUSAN










