MADINAH: Usia yang sudah lebih separuh abad dengan keupayaan semakin terbatas tidak mematahkan semangat untuk mendapat haji mabrur.
Begitulah semangat Ramli Md. Saad, 79, yang berpeluang menunaikan haji pada tahun ini yang akan digunakan sebaik mungkin, seolah-olah haji terakhir bagi dirinya.
Menurut pesara guru ini, dia menyifatkan peluang menunaikan haji kali ini sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.
“Sepatutnya saya pergi tahun lepas. Akan tetapi kesihatan isteri saya tidak mengizinkan dan tidak melepasi syarat. Justeru saya terpaksa menangguhkan pemergiaan saya ke Tanah Suci Mekah.
“Alhamdulillah, hajat saya termakbul tahun ini dan saya akan gunakan peluang sebaik-baiknya untuk beribadat kepada Allah SWT.
“Ini mungkin haji terakhir bagi diri saya lebih-lebih lagi dengan umur yang semakin meningkat ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Dia dari Perlis antara 282 jemaah haji menaiki penerbangan pertama (KT1) dari Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz semalam.
Daripada jumlah tersebut, seramai 115 jemaah terdiri daripada lelaki manakala 167 wanita tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH8050 sebelum dibawa menaiki bas ke zon penginapan.
Sementara itu, Wan Draman Wan Abdullah, 68, berkata, dia bersyukur apabila sepanjang perjalanan dan permohonannya selama 15 tahun untuk menunaikan haji lancar.
“Saya memohon untuk menunaikan haji ini sejak tahun 2009 lagi. Bermula dengan menyimpan wang sedikit demi sedikit sebaik permohonan dibuat, akhir jumlah wang berjaya dikumpul.
“Kebetulan, saya memang berniat mahu menjual salah sebuah rumah dan akhirnya terjual beberapa bulan saya berangkat ke Mekah. Jadi duit tersebut dapat saya gunakan untuk menampung perbelanjaan di Tanah Suci,” katanya. – UTUSAN










