TEMERLOH: Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sedang mengorak langkah bagi menjadikan Temerloh daerah pertama di negeri ini memperoleh penarafan bandar pintar pada tahun ini.
Yang Dipertuanya, Suris Mihat berkata, MPT serius untuk mendapatkan pengiktirafan itu kerana Temerloh mempunyai dasar, polisi dan hala tuju dalam aspek kemampanan bandar dan bandar pintar.
Menurutnya, proses dokumentasi sedang giat dilakukan dan akan dihantar pada pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada Julai depan untuk disemak dan dinilai.
“Untuk peringkat Early Adopter ini, kita mensasarkan bulan Julai siap dokumentasi dan seterusnya dihantar kepada PlanMalaysia untuk pihak berkenaan membuat penilaian penarafan.
“Panel Penilaian Jawatankuasa Penarafan Bandar Pintar akan yang keputusan pada bulan Oktober tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian sesi libat urus ‘early adopter’ penarafan Bandar Pintar di Dewan Tun Razak Temerloh di sini hari ini.
Suris berkata, segala usaha sudah pun dilakukan untuk memastikan sasaran MPT mencapai taraf bandar pintar sepenuhnya awal lima tahun pada 2030 berbanding sasaran sebelumnya, 2035.
Tegas beliau, MPT sudah bersiap sedia sepenuhnya bagi usaha penarafan tersebut namun menegaskan ia juga memerlukan komitmen serta kerjasama masyarakat.
“Bandar pintar itu merangkumkan pelbagai komponen seperti tadbir urus, infrastruktur digital dan ekonomi yang memberi manfaat besar kepada penghuni,” katanya.
Difahamkan, bandar pintar tersebut akan dibangunkan di atas tanah seluas 810 hektar di kawasan Mentakab di sini yang mempunyai akses perhubungan ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). – UTUSAN










