JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bersedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor bagi mengesan suspek yang bertindak memecahkan cermin kereta seorang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, kebanyakan jalan utama di kawasan MBJB dilengkapi dengan pemantauan kamera litar tertutup sepenuhnya masa.
Katanya, rakaman video CCTV itu diharap dapat membantu menjejaki dua suspek menaiki motosikal dan bersenjatakan tukul besi yang melakukan perbuatan jenayah terhadap pemain JDT itu.
“Kita memang ada perjanjian dengan polis setiap kali mereka memerlukan bantuan dari aspek pemantauan CCTV bagi membantu menjalankan siasatan terhadap apa-apa kes yang berlaku.
“Tidak dinafikan ada beberapa kawasan blind spot (titik buta) di bandar raya ini, namun kebanyakan jalan utama kita sepatutnya ada CCTV berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Mutiara Aidilfitri MBJB di Arena Larkin, di sini hari ini.
Semalam, Safiq Rahim memuat naik gambar cermin belakang kereta Honda City Hatchback miliknya yang dipecahkan individu tidak dikenali menggunakan tukul besi, malam tadi.
Safiq melaporkan kejadian itu berlaku ketika itu dia sedang memandu meninggalkan pusat latihan JDT di Jalan Sri Gelam menghala ke arah Pantai Lido pada pukul 10.05 malam tadi.
Dalam pada itu, Mohd. Noorazam memberitahu, MBJB dalam proses memasang kira-kira 300 CCTV dengan ciri kecerdasan buatan (AI) di beberapa lokasi tumpuan di sekitar kawasan di daerah ini.
Katanya, ini bagi membolehkan pihaknya meningkatkan keupayaan memantau pelbagai isu yang berlaku di seluruh kawasan MBJB membabitkan keadaan lalu lintas, bencana, jenayah, infrastruktur dan penguatkuasaan.









