Masak mi segera di stesen minyak: Empat didenda RM500

Masak mi segera di stesen minyak: Empat didenda RM500

EMPAT individu didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Bentong di Bentong, Pahang selepas mengaku bersalah memasak mi segera menggunakan dapur gas di sebuah stesen minyak di Genting Highlands, 12 Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Empat individu masing-masing didenda RM500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bentong di sini semalam bagi tuduhan melakukan aktiviti memasak mi segera menggunakan dapur gas di sebuah stesen minyak di Genting Highlands di sini pada 12 Mei lalu.

Tertuduh, Nur Azira Azman, 23, Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, 24, Nur Fatin Irdina Shahrulnizam, 24, dan Nur Anis Salleh, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Majistret Nadhratun Naiem Zainan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama dalam mencapai niat bersama pada 12 Mei lalu kira-kira pukul 1.30 pagi bertindak memasak menggunakan dapur gas dalam kawasan stesen minyak di Genting Highlands.

Perbuatan tersebut disifatkan sebagai gopoh kerana telah membahayakan keselamatan dan nyawa orang lain.

Ekoran perbuatan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, Muhammad Zamharir meminta hukuman setimpal diberikan kepada kesemua tertuduh kerana kejadian berkenaan telah menarik perhatian awam dan menimbulkan persepsi dan kontroversi negatif kepada masyarakat.

Muhammad Zamharir turut meminta hukuman denda maksimum dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat agar kesalahan tersebut tidak berulang pada masa akan datang.

Kesemua tertuduh kemudiannya menjelaskan denda masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN