PETALING JAYA: Malaysia dan Kazakhstan sepakat untuk memperkukuhkan hubungan dua hala yang terjalin lebih 32 tahun lalu sejak 16 Mac 1992, dan bersama meneroka peluang kerjasama baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan itu dibuat semasa pertemuan dengan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokeyv di Istana Presiden (Ak Orda) disusuli mesyuarat dua hala delegasi masing-masing.
Anwar berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan dengan lebih luas berkenaan kerjasama negara melibatkan pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan dan industri halal.
“Saya dan delegasi Malaysia menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, di Istana Presiden.
“Usai sambutan rasmi, saya dan Presiden Tokayev mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara penting terkait hubungan Malaysia dan Kazakhstan serta turut menyentuh isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” katanya menerusi akaun X. – UTUSAN









