Majikan perlu tawar gaji lebih baik, kekalkan pekerja mahir - Utusan Malaysia

Majikan perlu tawar gaji lebih baik, kekalkan pekerja mahir

LIEW CHIN TONG (tengah) bergambar dengan pekerja dan orang ramai yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri annjuran SIRIM di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Negara perlu melakukan transformasi terhadap bayaran gaji pekerja dengan menawarkan kadar yang lebih bersesuaian seiring peredaran masa.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong berkata, kenaikan kadar gaji pekerja juga dapat memberikan manfaat, khususnya menerusi peningkatan pengeluaran dan penggunaan teknologi terkini.

Katanya, pelaksanaan inisiatif bagi merancakkan ekonomi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan membantu mencapai hasrat tersebut.

“Ekonomi dunia kini memberi tumpuan ke rantau Asia Tenggara dengan Malaysia merupakan antara pemain utama di rantau ini. Di dalam negara, Johor merupakan pusat ekonomi kedua yang sedang membangun, sama seperti Osaka di Jepun, Melbourne di Australia dan Busan di Korea Selatan.

“Sehubungan itu, Johor perlu memainkan peranan untuk mengaplikasikan teknologi moden dalam operasi harian, sekali gus membolehkan pemberian kadar gaji pekerja lebih tinggi.

“Langkah ini perlu dilaksanakan bagi mengurangkan negara terus kehilangan pekerja mahir yang berhijrah ke negara lain kerana tawaran gaji lebih lumayan seperti di Singapura,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) di Iskandar Puteri, di sini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri turut memberitahu, pihaknya komited untuk meningkatkan kesedaran golongan majikan di negara ini dalam menawarkan gaji lebih baik kepada pekerja.

“Kita akan terus galakkan majikan dalam pelbagai sektor untuk menawarkan gaji lebih baik, yang mana ia akan membantu majikan mengekalkan pekerja berkualiti dan berkemahiran selain meningkatkan produktiviti syarikat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×