Mahkamah Tinggi Seremban kekal keputusan lepas bebas lelaki kes rogol budak - Utusan Malaysia

Mahkamah Tinggi Seremban kekal keputusan lepas bebas lelaki kes rogol budak

MOHD. Zairil Mohd. Zin (tengah) bersama peguamnya Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris selepas keputusan rayuan kes rogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Seremban yang melepas dan membebaskan seorang jurugegas sebuah syarikat swasta daripada pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, pada 2019.

Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Rohani Ismail terhadap tertuduh, Mohd. Zairil Mohd. Zin, 50, selepas meneliti dan menimbang hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

“Mahkamah memutuskan rayuan perayu ditolak. Justeru, keputusan Mahkamah Sesyen pada 23 Oktober lalu (melepas dan membebaskan tertuduh) dikekalkan.

“Saya berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen. Tiada apa-apa alasan untuk mengubah dapatan tersebut,” katanya pada prosiding keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Seremban melepas dan membebaskan Mohd. Zairil daripada pertuduhan berkenaan pada 23 Oktober tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Zairil yang bekerja di sebuah syarikat air swasta didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Titi, Jelebu pada 21 hingga 22 Mac 2019.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang bertentangan dengan aturan luar tabii kanak-kanak perempuan berkenaan di rumah, lokasi dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd. Zairil ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa syukur atas keputusan mahkamah tersebut sekali gus membersihkan namanya selepas berhadapan dengan kes itu selama lima tahun.

Seramai 14 orang saksi telah memberi keterangan di mahkamah sepanjang perbicaraan bermula pada April 2019.

Tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ala’udin Baharom

Sebelum ini media melaporkan pada Mac 2019 seorang lelaki dipercayai melakukan perbuatan mencabul kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diasuh isterinya.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal pada ketika itu berkata, lelaki berkenaan dipercayai melakukan perbuatan tersebut ketika isterinya tiada di rumah pada 23 April 2019 di Kuala Klawang, Jelebu.

Pada 24 Mac 2019, ibu mangsa membawa anaknya ke klinik dan pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan cabul dan seterusnya membuat laporan polis.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN