Madrasah Luqmanul Hakim ditutup sejak 2001 - Utusan Malaysia

Madrasah Luqmanul Hakim ditutup sejak 2001

MADRASAH Luqmanul Hakim yang terletak di kawasan kediaman suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru ditutup sejak 2001.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram, dekat sini yang didakwa menjadi pusat pengajaran sebuah pertubuhan keganasan disahkan tidak lagi beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, madrasah yang terletak dalam tanah persendirian berhampiran kediaman suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu telah ditutup pada 2001.

Katanya, sejak madrasah tersebut ditutup lebih 20 tahun lalu, pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) tidak menerima sebarang permohonan untuk memperbaharui pendaftaran pusat tersebut.

“Semakan dibuat (Madrasah Luqmanul Hakim) tak beroperasi sejak 2001 dan memang tidak ada permohonan untuk memperbaharui pendaftaran madrasah. Saya telah meminta Timbalan Pengarah Pengurusan MAINJ untuk membuat perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan untuk melihat keadaan bangunan tersebut. 

“Hasil semakan, kita boleh mengisytiharkan bangunan tersebut tidak lagi ada kegiatan. Kebimbangan masyarakat yang mendakwa bangunan tersebut masih digunakan itu, saya boleh sahkan tidak lagi berlaku,” katanya selepas menyantuni komuniti etnik Rohingya di kawasan Mukim Plentong, di sini.

Jumaat lalu, dua wira negara iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban dalam serangan kira-kira 2 30 pagi di Balai Polis Ulu Tiram, manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd. Hasif Roslan cedera dan kini masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) serta suspek turut maut ditembak.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati madrasah tersebut yang terletak di tanah persendirian di kawasan kediaman keluarga suspek yang berpagar turut tidak berpenghuni.

Dalam pada itu, Mohd, Fared memberitahu, sejak insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram itu, beliau mendapat banyak aduan masyarakat setempat yang menyuarakan kebimbangan serta bertanyakan tindakan yang akan ambil terhadap premis madrasah tersebut.

Katanya, kerajaan boleh mengambil tindakan termasuk merobohkan madrasah tersebut kerana  membabitkan aspek keselamatan serta kebimbangan masyarakat  pusat itu digunakan oleh kumpulan tidak bertanggungjawab, namun semakan terlebih dahulu secara menyeluruh akan dilakukan oleh semua agensi penguatkuasaan yang terlibat.

“Ini membabitkan kebimbangan masyarakat, saya rasa pihak berkuasa akan lebih berautoriti untuk menentukannya, sekiranya perlu dirobohkan, saya kira kerajaan boleh mengambil tindakan ke tahap itu,” katanya sambil memberitahu pihak berkuasa, terutamanya Pejabat Tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan atas aspek kacau ganggu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN