LLM tawar 10 peratus projek lebar lebuhraya kepada kontraktor G1 - Utusan Malaysia

LLM tawar 10 peratus projek lebar lebuhraya kepada kontraktor G1

HASNI Mohammad berbual dengan para pelajar pada Majlis Perasmian Mesyuarat PIBG Kolej Vokasional Tanjung Piai, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memastikan 10 peratus daripada nilai keseluruhan projek pelebaran daripada empat menjadi enam lorong dari Senai Utara ke Sedenak  diberikan kepada kontraktor G1.

Pengerusi LLM,  Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, manakala 30 peratus kerja-kerja pembinaan akan ditawarkan kepada kontraktor  bertaraf Bumiputera seperti membekal premix, perabot jalan dan sebagainya.

Katanya, peluang itu juga perlu diberikan kepada para pelajar dalam bidang teknikal bagi  mengikuti latihan industri sepanjang projek tersebut dilaksanakan supaya mereka dapat menimba pengalaman.

“Sama ada dipihak LLM atau pihak kontraktor, wajar kita menawarkan tempat kepada pelajar-pelajar teknikal untuk sama-sama mencari pengalaman bagaimana membina sesebuah lebuhraya. Dengan pendedahan ini dapat menambah lagi minat mereka untuk terlibat dengan kerja-kerja pembinaan apabila tamat pengajian nanti,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai (KVTP) di Penerok, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua PIBG KVTP, Norilfairuz Abdullah dan Pengarah KVTP, Nor Azman Marjuki.

Pada 12 Oktober tahun lalu, kerajaan bersetuju melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan daripada empat menjadi enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024  berkata, projek pelebaran membabitkan kawasan  di Johor itu akan dilaksanakan dengan peruntukqn RM931 juta.

Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata,  sebelum hujung bulan ini kerajaan akan melantik kontraktor bagi membolehkan projek itu dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.

“Projek pelebaran Fasa Satu itu membabitkan jarak 21.8 kilometer (km) dan dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmian,  bekas Menteri Besar Johor itu berkata, sejajar dengan penekanan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET), KV juga adalah medium bagi melahirkan golongan pekerja mahir.

Katanya, dengan pembukaan Zon Ekonomi Khas oleh kerajaan Negeri Johor, peluang pekerjaan dalam bidang teknikal amat diperlukan bagi mengisi jawatan yang akan ditawarkan nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN