PETALING JAYA: Liputan internet terhad dan kekurangan prasarana tidak seharusnya menjadi penghalang melaksanakan silibus kecerdasan buatan (AI) dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, keadaan geografi negara ini sememangnya menjadi kebimbangan pihaknya dan Kementerian Pendidikan (KPM) memandangkan masih banyak kawasan khususnya di pedalaman belum mendapat liputan internet serta prasarana sepenuhnya.
Bagaimanapun, katanya, kekangan itu tidak seharusnya menjadi penghalang supaya generasi muda tidak ketinggalan dalam pengetahuan berhubung dunia teknologi maklumat (IT).
“Tak bolehlah kalau kerana kekangan itu kita menangguhkan pelaksanaannya memandangkan 2027 masih jauh. Mungkin sebagai permulaan, silibus tersebut boleh diperkenalkan kepada sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah terpilih di bandar dan sebagainya.
“Pada masa sama, KPM perlu diberi peruntukan secukupnya untuk menambah baik prasarana IT sedia ada di sekolah-sekolah di pedalaman dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, pengenalan subjek AI di sekolah rendah disifatkan sebagai strategi ‘serampang dua mata’ KPM untuk mendidik pelajar mengenai etika penggunaan IT selain memupuk minat golongan tersebut terhadap kerjaya berasaskan bidang itu pada masa depan.
Katanya, silibus AI penting dilaksanakan bukan sahaja bagi membolehkan Malaysia tidak ketinggalan malah akan menjadi daya penarik kepada pelajar untuk mendekati semula mata pelajaran Sains dan Matematik kerana ketiga-tiganya saling berhubung kait.
“Pelajar sudah pun didedahkan kepada IT sejak enam tahun lagi, jadi silibus AI ini perlu diperkenalkan di peringkat sekolah rendah supaya golongan ini cenderung kepada kerjaya berasaskan IT.
“Silibus bagi pelajar sekolah rendah juga perlu merangkumi pengetahuan mengenai etika pengunaan teknologi untuk kita terus maju,” katanya. – UTUSAN










