Lima ahli keluarga suspek serangan Ulu Tiram ditahan bawah SOSMA - Utusan Malaysia

Lima ahli keluarga suspek serangan Ulu Tiram ditahan bawah SOSMA

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, reman terhadap kelima-lima suspek berusia antara 19 hingga 62 tahun itu tamat pada hari ini.

“Di bawah SOSMA ini, Cawangan Khas Bukit Aman akan menjalankan siasatan manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih juga akan meneruskan siasatan berkait Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.

“Jadi siasatan bersekali, tiada masalah,”katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Menurut Razarudin, siasatan awal mendapati bapa suspek disyaki ahli Jemaah Islamiyah (JI).

“Itu memang ada dalam data dan rekod kita. Saya kena maklumkan begitu untuk tahu siasatan kita ke arah mana pada awalnya.

“Apabila kita panggil saksi antaranya jiran, kita dapati keluarga itu terasing, tidak campur dengan orang malah ada yang tidak bersekolah.

“Anak yang ditembak mati (suspek) sekolah sampai darjah empat, abang dia sahaja sampai tingkatan lima, seorang lagi kakak sampai darjah enam.

“Apabila kita telah memanggil 47 saksi , daripada data polis, kita dapati bahwa dia (suspek) langsung tiada jaringan dengan JI, walaupun bapanya pada asalnya dalam data kita itu.

“Saya kena cakap benda yang betul, tapi orang spin (pusing),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun bagi membantu siasatan kes  mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut direman sama dibebaskan tanpa syarat, Rabu lalu.

Pada 17 Mei lalu, tiga disahkan maut membabitkan dua anggota polis berusia 22 dan 24 tahun serta suspek berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera dalam kejadian kira-kira pukul 2.54 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN