SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia mendengar dan meraikan pandangan dari semua pihak dalam usaha memperkasakan sistem pendidikan negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, menjadi fokus beliau ketika ini untuk memastikan reformasi pendidikan dapat berjalan dengan lancar.
“Jadi mana-mana pihak yang berminat dan ingin melontarkan pandangan mereka dan bersama dengan KPM, bolehlah datang ke pejabat kementerian.
“Kita boleh bincang program apa sesuai kerana isu pendidikan ini melibatkan semua pihak dan kita meraikan semua pandangan tersebut.
“Ketika ini kita memberi fokus kepada kerja dan saya juga sudah maklumkan fokus hala tuju negara tertumpu kepada reformasi pendidikan dibawah KPM. Kita juga telah wujudkan pelbagai jawatankuasa khas untuk menangani isu berkait rapat dengan KPM,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Karnival Kokurikulum (KoKUM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Nilai, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Roslan Hussin.
Fadhlina mengulas mengenai cabaran yang dilontarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menggesa Fadhlina supaya lebih proaktif dan bertindak segera bagi meningkatkan tahap sistem pendidikan negara.
Ia juga susulan laporan Bank Dunia yang menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mahir membaca pada usia lima tahun selain masalah keciciran pelajaran dihadapi kanak-kanak di pedalaman serta ketiadaan kemudahan prasekolah.
Fadhlina dalam pada itu berkata, KPM telahpun menyantuni semua peringkat sekolah termasuklah sekolah di Sabah dan Sarawak.
“Kita juga mempunyai agenda khas yang dikenali Program Tindak Susul Parlimen dan program ini akan disusun mengikut isu-isu yang terdapat dalam pendidikan.
“Tumpuan ketika ini adalah bagi menyelesaikan sekolah-sekolah yang dikenalpasti berada dalam keadaan daif di samping isu penyelenggaran serta melihat kepada program pembangunan murid kita,” katanya.
Berikutan itu, beliau turut memberi jaminan KPM akan terus bekerja keras untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.
Sementara itu, program KoKUM Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 berlangsung bermula semalam sehingga Khamis ini merupakan pelengkap aktiviti kokurikulum dan menjadi satu acara tahunan yang diadakan di setiap sekolah.
Ia adalah selari dalam usaha memantapkan lagi minda pelajar dengan ilmu yang tidak diperoleh secara langsung melalui pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah.-UTUSAN.










