PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengawal kos pemasangan gentian optik di kawasan kediaman dan kos penggunaan internet yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi agar tidak membebankan rakyat.
Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Razali Yaakob berkata, syarikat-syarikat telekomunikasi perlu menyelenggara dan memperluaskan teknologi rangkaian jalur lebar kepada 5G termasuk menambah bilangan menara telekomunikasi serta menaik taraf stesen pemancar sedia ada kepada rangkaian terkini.
“Capaian jalur lebar melalui satelit MEASAT Global Berhad (MEASAT) perlu dinaik taraf terutama di kawasan pedalaman dan bukit-bukau.
“Walaupun terdapat kelemahan seperti gangguan cuaca, namun pilihan ini mungkin sesuai untuk kawasan terpencil sebelum kemudahan asas internet dapat dipertingkatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan memastikan kawasan berkepadatan rendah desa dan pedalaman disediakan liputan internet bagi mengikuti pembelajaran.
AI
Razali berkata, capaian internet yang tinggi di seluruh negara amat diperlukan bagi memudahkan masyarakat khususnya pelajar untuk mempelopori kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, capaian internet di kawasan luar bandar masih kurang memuaskan malah masih ada tempat yang tidak mempunyai akses.
Katanya, pihak kerajaan perlu menyediakan pusat kemudahan internet di kawasan luar bandar seperti sekolah atau dewan komuniti untuk kegunaan pelajar dan rakyat setempat.
“Bukan sekadar menyediakan tempat tetapi juga juga penting untuk memastikan peranti yang digunakan adalah terkini agar dapat menyokong capaian internet yang baik.
“Pada masa kini, terdapat banyak perisian dan alatan AI yang boleh beroperasi tanpa internet, namun akses internet yang baik diperlukan bagi memuat naik dan memasangnya ke dalam komputer sebelum dapat digunakan,” ujarnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Seksyen Keselamatan Siber dan Penumpuan Teknologi, Institut Teknologi Maklumat Malaysia (MIIT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Shafiza Mohd. Shariff berkata, geografi Malaysia juga perlu diambil kira dalam memastikan penyediaan infrastruktur internet terutamanya di kawasan yang sukar mendapat akses.
“Kekangan disebabkan faktor ekonomi, ketersediaan infrastruktur oleh pembekal perkhidmatan internet (ISP) dan kemampuan mereka untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan harus segera ditangani,” katanya.- UTUSAN










