Konvokesyen MSU ke-33 rai 2,253 graduan - Utusan Malaysia

Konvokesyen MSU ke-33 rai 2,253 graduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 2,253 graduan daripada 128 program pengajian diraikan pada Majlis Konvokesyen Management & Science University (MSU) ke-33 di sini, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, kesemua graduan itu melibatkan 25 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (42), Ijazah Sarjana Muda (1,285) dan Diploma (901).

“Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan (FISE) menyumbang jumlah graduan terbesar iaitu seramai 838 orang menerusi 30 program pengajian.

“Turut diraikan adalah graduan sulung bagi enam program pengajian iaitu jurusan Takaful, Perniagaan Antarabangsa, Penyiaran, Perniagaan Fesyen, Pengurusan Perkhidmatan Penerbangan dan Reka Bentuk Produk,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Berkenan berangkat menyempurnakan konvokesyen itu, Raja Muda Kedah yang juga Canselor MSU, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sallehuddin.

Menurut Mohd. Shukri, lima kategori anugerah khas kecemerlangan turut diberikan kepada 59 graduan bagi mengiktiraf pencapaian keseluruhan akademik dan kokurikulum sepanjang pengajian mereka.

“Mereka antaranya penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Wiksa Virijo Vicheet: (Ijazah Sarjana Muda Nutrisi); Anugerah Presiden, Lenny Juvena Azmi (Sarjana Pentadbiran Perniagaan) dan Anugerah Kecemerlangan Mohd. Shukri Yajid, Farhanis Alisya Farizal (Ijazah Sarjana Muda Psikologi).

“Selain itu, 54 graduan lain masing-masing menerima Anugerah Akademik dan Anugerah Industri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya gembira jumlah graduan MSU yang menceburi teknologi kecerdasan buatan (AI) kian berkembang ketika ini.

Konvokesyen meliputi empat sidang sehingga esok itu turut melibatkan graduan dari 26 negara lain antaranya China, Ghana, Sudan dan Uzbekistan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN