KUBANG PASU: Ubi telampong yang merupakan makanan tradisional dipercayai berasal dari daerah ini menjadi buruan ramai sehingga menjadikan penjual manisan di Kampung Tok Kesop, Jitra tidak menang tangan.
Menurut peniaga makanan tradisi berasal dari Binjal, Zainal Abidin Daud, 64, keunikan makanan itu adalah ubi kayu direbus bersama air tebu selama lapan jam sehingga menghasilkan ubi dan nisan yang enak.
“Makanan ini susah nak jumpa walaupun berasal dari sini mungkin kerana cara menyediakannya sangat remeh. Mungkin sebab itu juga ubi telampong ini jadi buruan ramai dan pelanggan saya datang dari seluruh Malaysia.
“Saya hanya buat ubi telampong ini dua atau tiga kali seminggu bergantung kepada permintaan kerana prosesnya sangat panjang untuk dapatkan ubi yang betul-betul empuk setelah direbus dengan air tebu,” katanya ketika ditemui di gerai menjual makanan itu di Kampung Tok Kesop, Jitra di sini semalam.
Menurut Zainal Abidin yang sudah 18 tahun berniaga ubi telampong, proses membuat makanan itu bermula seawal 8 pagi untuk memasak ubi kayu bersama air tebu.
“Ubi kayu yang sudah dibersihkan akan direbus dengan air tebu dalam raga atau pukat khas diperbuat daripada daun bemban. Raga ini pun susah nak cari kerana daun bemban pun semakin pupus. Saya dapatkan raga ini dari seorang penjual di Napoh.
“Ubi kayu perlu diletakkan dalam raga untuk memastikan ia tidak melekat pada kawah. Selama lapan jam itu juga saya perlu menjaga kawah ini supaya sarang ini tidak pecah, kalau pecah rosak air tebu. Memang memasak ubi telampong ini memerlukan kesabaran dan tidak semua orang boleh buat,” katanya.
Zainal Abidin yang dikenali sebagai Abang Non berkata, ubi kayu perlu direbus selama lapan jam untuk memastikan tekstur lembut dan manis seperti gula.
“Ubi telampong yang saya buat ini memang tulen kerana hanya guna air tebu sahaja bukan campuran gula atau gula melaka. Kita akan tahu keaslian daripada rasa malah sewaktu merebusnya juga ia sangat wangi,” katanya.









