Kerajaan negeri timbang naik gaji penjawat awam

Kerajaan negeri timbang naik gaji penjawat awam

SAARANI Mohamad (tengah) pada Penyampaian Replika Cek Dana Kreatif Negeri Perak @ PORT di pejabat beliau di Ipoh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan-kerajaan nege­ri sedia mempertimbangkan kenaikan gaji penjawat awam berikutan pengumuman di pe­ringkat Persekutuan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada implikasi kewangan besar yang akan ditanggung kerajaan negeri.

Saarani berkata, ini kerana jumlah kakitangan kerajaan ne­geri di Perak hampir 9,000 orang.

“Lazimnya kita akan ikut tapi tengok kepada kemampuan kewangan dan juga mematuhi pekeliling.

“Kerajaan negeri akan mene­liti pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhid­matan Awam (JPA) susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat di peringkat Persekutuan,” katanya kepada pembe­rita dalam majlis penyampaian replika cek dana Kreatif Negeri Perak @Port di Pejabat Menteri Besar Perak di sini, semalam.

Saarani berkata, kerajaan negeri belum menerima sepenuhnya pekeliling mengenai kenaikan gaji penjawat awam seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Menurut beliau, mesyuarat exco kerajaan negeri akan membuat keputusan apabila pekeli­ling tersebut diperoleh.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri akan menyelaraskan gaji penjawat awam di negeri itu mengikut Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri.

Menurut beliau, apabila kerajaan Persekutuan menaikkan gaji kakitangan mereka, sudah tentu ia harus dilaksanakan secara bersama di peringkat negeri.

Beliau berkata, pelarasan itu akan melibatkan gaji dan gred yang sama di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Sekarang, tugas Setiausaha Kerajaan Negeri untuk lihat apa yang diumumkan semalam dan perkara-perkara tambahan lain supaya dapat kita kaji dan bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya ia selaras dengan Persekutuan.

“Memang akan ada implikasi kewangan, tanggungjawab sekarang untuk pastikan kita cukup (kewangan) untuk bayar gaji penjawat awam kita, pakej kita akan ikut Persekutuan, tidak le­bih tidak kurang,” jelasnya.

Di PERLIS, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan kenaikan gaji penjawat awam di negeri itu.

“Insya-Allah walaupun belum dibincang dalam mesyua­rat, kita akan cuba pastikan penjawat awam negeri juga menerima kenaikan,” katanya.

Di PULAU PINANG, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya masih menunggu butiran terperinci mengenai perkara tersebut sebelum memberi sebarang kata putus.

Kata beliau, keperluan untuk menaikkan gaji penjawat awam di negeri itu akan dibincangkan secara lebih lanjut pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau mesyuarat Exco akan datang sebelum perkara tersebut dimuktamadkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN