Keputusan PRK Kuala Kubu Baharu  sebelum 10 malam 

Keputusan PRK Kuala Kubu Baharu  sebelum 10 malam 

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Dr Azmi Sharom melawat pusat mengundi pada Pilihan Raya Kecil dun Kuala Kubu Baharu, di SMK Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu dijangka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  sebelum 10 malam ini.

Timbalan Pengerusinya, Dr. Azmi Sharom berkata, pihaknya menjangka keputusan PRK Kuala Kubu Baharu dapat dikeluarkan secepat mungkin.

Menurut beliau, perjalanan proses pengundian setakat ini  lancar dan setakat pukul 11 pagi tadi telah mencapai 26 peratus pengundi keluar mengundi.

“Setakat ini semua berjalan dengan lancar dan aman, jadi ia amat baik. Saya tidak lihat ada apa-apa masalah, akses pun bagus untuk warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

“Harap-harap dalam pukul 9, kita agak cepat nak habiskan (pengiraan) jadi harapan (siap) sebelum pukul 10 (malam)” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Baharu, di sini

Semua pusat mengundi mula dibuka pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 6 petang kecuali pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Bukit Fraser (Tapak Lama) di bawah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pertak yang dibuka selama 6 jam sehingga pukul 2 petang.

PRK Kuala Kubu Baharu melibatkan pertembungan empat penjuru iaitu dua parti gergasi, Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan Khairul Azhari Saut.

Dua lagi adalah Hafizah Zainudin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin.

Mengulas lanjut, peratusan keluar mengundi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) kebiasaannya lebih rendah berbanding  Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kalau kita lihat PRN, di sini pun hanya 67 peratus dan selalunya PRK sedikit rendah tetapi siapa tahu, mungkin kita dapat 70 peratus.

“Tetapi kita sasarkan sekitar 60 peratus jika (lihat secara) realistik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN