LAHAD DATU: Tiga pendaki maut manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian kepala air di Lembah Mak Sina River Trekking, Pantai Makuau, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.28 malam itu, tiga mangsa ditemukan tertimbus di bawah kayu balak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 17 pendaki terkandas akibat kejadian kepala air di Lembah Mak Sina kira-kira pukul 8.20 malam.
Bertindak atas laporan itu, jelasnya, sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 56 kilometer dari BBP Lahad Datu.
Beliau berkata, semasa anggota tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.36 malam, didapati 17 mangsa terperangkap di seberang sungai.
Daripada jumlah itu, dua mangsa berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba dan sembilan mangsa lagi berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh pasukan penyelamat manakala enam mangsa dilaporkan hilang.
“Semasa operasi mencari dan menyelamat dilakukan bermula pukul 6.20 pagi semalam, dimaklumkan tiga mangsa telah ditemukan tertimbus di bawah kayu balak kira-kira pukul 1.37 pagi melibatkan seorang lelaki, seorang wanita dan seorang mangsa lagi tidak dikenal pasti.
“Operasi mengeluarkan jasad mangsa giat dijalankan dan tiga mangsa lain masih belum ditemukan,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat tiga pendaki yang hilang masih diteruskan. – UTUSAN










